Bekas buruh terlepas hukuman mati

Bekas buruh terlepas hukuman mati

Kota Kinabalu: Seorang bekas buruh terlepas hukuman mati kerana mengedar dadah selepas ditawarkan pertuduhan pilihan ketika prosiding di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Tertuduh, Azrul Adjeran, 36, sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati kerana mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 67.89 gram.

Azrul dituduh melakukan jenayah berkenaan di hadapan pondok pengawal keselamatan, Taman Bakti Ikhlas, Inanam, dekat sini pada jam 5.45 petang, 4 Mei 2021.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membuat pindaan terhadap pertuduhan itu iaitu kepada Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) Akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga seumur hidup dan tidak kurang 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan itu selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Amelati Parnell.

Amelati kemudian memerintahkan Azrul, dihukum penjara 13 tahun dan 10 sebatan bermula dari tarikh dia ditahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azreen Yas Mohamad Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Ssu, Pitting & Partners.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|