GRS tidak perlu tergesa-gesa terima parti baharu

GRS tidak perlu tergesa-gesa terima parti baharu

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak boleh tergesa-gesa membentuk pakatan dengan parti baharu, tegas Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau yang juga Ketua Penerangan GRS berkata, sebarang keputusan untuk menerima parti baharu ke dalam GRS perlu mendapat persetujuan daripada semua rakan parti dalam gabungan itu.

Katanya, ketika ini GRS dalam proses pendaftaran secara rasmi berikutan kejayaan parti-parti pengasas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada September 2020.

“Maka gabungan ini harus mengekalkan rakan kongsi asal yang telah membuktikan komitmen serta perjuangan mereka.

“Walaupun kami mengalu-alukan sokongan daripada semua rakyat Sabah, tetapi kita tidak boleh tergesa-gesa untuk membentuk pakatan dengan parti-parti baharu di mana kesetiaan dan semangat rakan kongsi masih belum dibuktikan.

“Sebarang keputusan untuk menerima parti baharu, termasuk yang telah mengisytiharkan mesra GRS ke dalam gabungan ini mesti mendapat kata sepakat daripada semua rakan kongsi sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasrat parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang ditubuhkan bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Peter Anthony untuk menyertai GRS.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata, parti baharu yang berhasrat untuk menyertai GRS mesti menunjukkan aspirasi dan motivasi politik serta sumbangan jangka panjang yang tulus dan ikhlas kepada gabungan itu.

“Lagipun, individu yang menerajui parti-parti ini (yang berhasrat untuk menyertai GRS) adalah lawan politik kita lebih setahun lalu.

“Oleh itu, adalah menjadi keutamaan kita untuk menjaga rakan kongsi asal di samping mengukuhkan lagi perpaduan dalaman kita,” katanya.

Tambah beliau lagi, fokus utama GRS seharusnya untuk mengukuhkan lagi hubungan erat antara ahli parti pengasas sedia ada sebelum mempertimbangkan menerima parti baharu.

“Apa yang kita mahu lihat ialah gabungan yang dibina berasaskan kepercayaan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan masa depan negeri.

“PBS percaya kepada kebijaksanaan pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memastikan keharmonian dalam kalangan semua rakan pengasas GRS kekal pada tahap tertinggi,” katanya.

Joniston dalam pada itu turut berkata, sebagai parti tertua di negeri ini, PBS akan terus bekerja tanpa henti untuk mengukuhkan GRS.

“Ini dapat dilihat apabila adanya peningkatan dalam permohonan keahlian PBS serta pembukaan cawangan-cawangan baharu,” katanya.

GRS ditubuhkan menjelang PRN Sabah pada September 2020 yang menggabungkan beberapa parti di bawah Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|