GRS: Masa depan politik Sabah lebih terjamin

GRS: Masa depan politik Sabah lebih terjamin

Kota Kinabalu: Pendekatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang tidak memilih siapa untuk bekerjasama dilihat sebagai satu pembaharuan yang mampu membawa gabungan lebih kukuh dan masa depan politik Sabah yang lebih terjamin.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Lee Kuok Tiung, berkata langkah diambil GRS dengan menerima badan bukan kerajaan (NGO) atau pemimpin secara individu membawa banyak kebaikan kepada masa depan gabungan berkenaan dan politik Sabah.

“Asalkan semua mempunyai ideologi atau perjuangan yang sama, sudah tentu ianya akan membawa kekuatan kepada GRS,” katanya mengulas signifikan GRS dalam politik Sabah masa kini.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS menyatakan keterbukaan gabungan itu untuk menerima sesiapa saja, termasuk NGO dan individu yang berminat menganggotai GRS.

Kuok Tiung berkata, keterbukaan GRS itu yang sedia bekerjasama dengan lebih banyak parti politik juga bakal membawa era baharu politik Sabah yang lebih bertolak ansur dalam menjamin masa depan negeri dan kepentingan rakyat.

Jelasnya, ia termasuk dalam soal membentuk kerjasama atau kesepakatan dalam menghadapi pilihan raya akan datang, khususnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, ia jelas dengan kehadiran begitu ramai pemimpin parti termasuk Barisan Nasional (BN) pada majlis pelancaran GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.

“GRS telah menjemput semua parti kecuali WARISAN Plus hadir. Ini termasuklah Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang dipimpin oleh Tan Sri Liew Yun Fah.

“Bagi saya itu isyarat GRS terbuka untuk kerjasama dengan semua andai kata mempunyai ideologi perjuangan yang sama.

“Kita turut menyaksikan kehadiran UMNO dan parti-parti komponen BN dan jemputan atau pelawaan itu diterima (mereka hadir). Bagi saya itu merupakan indikator kebarangkalian kerjasama dalam PRU-15,” katanya.

Beliau yakin GRS juga mampu menangani soal pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponennya, selain dengan BN bagi memastikan kerusi Parlimen yang ketika ini banyak dikuasai pembangkang mampu ditawan semula.

Jelasnya, pertembungan sesama sendiri mampu dielakkan dengan melihat kekuatan dan kelebihan setiap parti di semua kawasan atau kerusi.

“Masing-masing parti ada kekuatan dan ada kerusi yang mereka ada kelebihan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pelancaran GRS sebagai sebuah entiti politik rasmi sangat signifikan dengan kedudukannya sebagai parti yang menjadi kerajaan pada hari ini.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan, isu besar seperti tuntutan hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pasti akan diteruskan oleh gabungan berkenaan.

“GRS merupakan kerajaan memerintah (government of the day) Sabah hari ini. Jadi, soal tuntutan hak yang termaktub dalam MA63 pasti akan dituntut dan akan dibawa ke mahkamah jikalau perlu,” katanya.

Dalam ucapan pelancaran GRS semalam, Hajiji menegaskan komitmen GRS menerusjan perjuangan menuntut keseluruhan hak dan kepentingan rakyat Sabah yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

Usaha itu katanya sejajar dengan teras Sabah First yang digariskan GRS dalam meneruskan Agenda Sayangi Sabah yang termaktub dalam Akujanji GRS pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), September 2020.

GRS menggariskan empat teras utama perjuangannya iaitu Sabah First atau Sabah Diutamakan, Sabah Forward atau Sabah Melangkah Ke Hadapan, Sabah Prosper atau Sabah Makmur dan Sabah United atau Sabah Yang Bersatu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|