ABM Sabah mampu penuhi tenaga kerja projek Lebuhraya Pan Borneo

Kota Kinabalu: Akademi Binaan Malaysia (ABM) Kampus Sabah berupaya memenuhi keperluan tenaga kerja sektor pembinaan termasuk bagi melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata ABM Sabah mampu melahirkan sehingga 10,000 tenaga kerja mahir sektor pembinaan apabila kampus baharunya di Beringgis, Papar siap dalam tempoh dua tahun setengah.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup

Katanya, Sabah memerlukan ramai tenaga kerja mahir dalam sektor pembinaan untuk melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo, terutama untuk pelaksanaan 19 pakej baharu fasa satu yang dijangka bermula sebelum akhir tahun ini.

“Kita memerlukan banyak tenaga kerja untuk memenuhi keperluan dan juga kekosongan pekerjaan yang akan muncul apabila 19 pakej baharu Lebuhraya Pan Borneo Sabah itu dilancarkan nanti.

“Kita sudah menerima komitmen sepenuhnya daripada kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyiapkan 19 pakej itu dalam masa lima tahun dan kerajaan membelanjakan kira-kira RM12 bilion untuk melaksanakannya.

“Maka ABM adalah agensi yang terbaik bagi kita khususnya dalam sektor pembinaan untuk memastikan bahawa belia di Sabah atau rakyat tempatan kita disediakan dengan kemahiran dan pensijilan yg paling sesuai untuk memenuhi peluang pekerjaan yang akan wujud itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat ABM Sabah sempena program FTRoadoedia Sabah, di sini, hari ini.

Ketika ini kampus ABM Sabah beroperasi sementara di tapak seluas 3.6 hektar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, dengan keupayaan melahirkan 800 tenaga kerja mahir setahun.

Kampus baharu ABM Sabah di Beringgis, Papar akan dibangunkan di tapak seluas kira-kira 20 hektar dengan kos RM80 juta, dijangka bermula selepas jalan masuk dengan kos RM1 juta disiapkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah tidak lama lagi.

Arthur berkata, lepasan ABM Sabah mendapat permintaan yang menggalakkan daripada industri pembinaan dengan 90 peratus daripada pelatihnya mendapat pekerjaan selepas tamat kursus.

Beliau yabg juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, mulai sekarang usaha lebih agresif turut diambil untuk mempromosikan kursus ABM di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah bagi memastikan peluang kerja dan ekonomi dalam sektor pembinaan turut dinikmati belia di kawasan itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|