GRS lebih bermakna jika parti tempatan menerajui – Ewon

GRS lebih bermakna jika parti tempatan menerajui – Ewon

Kota Belud: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak lebih sebagai jenama baharu kepada politik lama Sabah jika masih diterajui parti dari Semenanjung.

Beliau berkata, gabungan itu hanya membawa makna sebenar sebagai sebuah entiti politik yang baharu di Sabah jika ia disertai parti politik tempatan yang bertapak di negeri ini.

Jelasnya, kelulusan pendaftaran GRS hanya satu jenama baharu kepada politik lama di Sabah jika parti politik dari Semenanjung, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO, PAS, MCA dan yang lainnya turut berada dalam dan menerajui gabungan berkenaan.

“Selagi teraju utama GRS masih ber-presidenkan parti dari Semenanjung dan kepimpinan tertinggi parti masih dipengaruhi dasar kepimpinan Malaya (Semenanjung Malaysia), ianya tidak akan memberi kelebihan kepada harapan dan tuntutan politik rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), berkata beliau juga sedar UPKO berada dalam Pakatan Harapan (PH) yang juga sebuah gabungan nasional dengan kepemimpinan PH Sabah turut diketuai parti dari Semenanjung.

Dalam konteks itu, Ewon mengakui PH Sabah tidak banyak beza dengan GRS atau Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), kecuali jika kepemimpinan PH Sabah diberikan kepada parti tempatan Sabah.

Ewon menyatakan, sebagai pemimpin parti, beliau perlu akur dengan kehendak dan aspirasi rakyat dan juga ahli-ahli parti.

“Selama ini, saya sentiasa berpegang kepada prinsip ‘bottom up’, iaitu pandangan akar umbi harus memandu halatuju kepimpinan. Sebagai Naib Presiden UPKO, saya ambil maklum kemahuan sebahagian besar rakyat Sabah yang mahukan gabungan politik mewakili parti-parti tempatan.

“Jika kita mahu menuntut pelaksanaan berkesan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menolak tuntutan Filipina dan pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu serta mengurus pembangunan rakyat dan negeri Sabah, sebaik-baiknya kita dapat membina gabungan politik parti-parti tempatan Sabah.

“Saya boleh mengadakan referendum UPKO jika GRS didaftarkan hanya mencakupi parti-parti tempatan Sabah, tetapi jika ianya masih diterajui dan dianggotai oleh parti-parti dari Semenanjung, maka ianya tidak berbeza daripada gabungan politik yang sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon menyatakan pendiriannya untuk terus kekal bersama UPKO walaupun parti itu berada di luar kerajaan.

Jelasnya, beliau mahu menyumbang kepada kemahuan sebahagian rakyat Sabah yang mahukan budaya wakil ‘rakyat katak’ dihentikan.

“Jika saya mahukan kerja atau jawatan atau peruntukan ADUN, saya boleh memilih menyertai mana-mana parti kerajaan dan saya boleh memilih menyertai mereka dari awal jika saya berfikiran sedemikian tetapi saya tetap memilih bersama keluarga politik saya, iaitu UPKO walaupun sudah ramai yang berhijrah ke parti lain.

“Selagi saya menjadi ADUN Kadamaian, saya akan jalankan amanah saya sebagai ADUN. Saya sudah buktikan bagaimana seseorang ADUN kerajaan sepatutnya berfungsi dan kini pula bagaimana seseorang ADUN pembangkang sepatutnya berfungsi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|