GRS-BN wujud untuk elak pertembungan – Japlin

GRS-BN wujud untuk elak pertembungan – Japlin

Kota Kinabalu: “Pengwujudan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) yang disebutkan sekarang dalam kerajaan negeri bertujuan untuk memastikan tidak ada pertembungan yang berlaku,” kata Pengarah Strategi dan Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Japlin Akim.

Beliau bagaimanapun tidak menolak boleh berlaku pertembungan mengikut situasi semasa ketika pilihan raya yang akan datang.

“Kalau tidak dapat dielakkan itu terserah kepada situasi pada ketika itu. Tetapi saya percaya semua parti dalam gabungan ini faham dan tahu jika berlakunya pertembungan ia akan membawa kesan yang kurang baik.

“Saya sedar bahawa semua parti itu akan cuba sedaya upaya untuk memastikan kalau boleh tidak ada pertembungan berlaku tetapi kalau tidak dapat dielakkan, itulah politik namanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Si Cilik Ke Sekolah Bersama Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Kawasan Kota Belud yang disempurnakan Ketua Penerangan Bersatu merangkap Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Wan Saiful Wan Jan di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini, hari ini.

Japlin yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Belud berkata, tujuan kerjasama itu dibentuk adalah untuk mewujudkan politik yang stabil demi mengalahkan pihak pembangkang selain mengelak daripada berlaku pertembungan dalam pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau berkata, rundingan perlu diadakan antara parti komponen GRS bersama BN bagi mengelak daripada berlaku pertembungan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Memang setiap parti akan menyatakan bahawa akan bertanding sebanyak kerusi yang boleh, sama juga Bersatu kita cuba akan berjuang seberapa banyak kerusi yang kita boleh tandingi.

“Tetapi hakikatnya nanti apabila tiba waktunya, ketua-ketua parti dengan komponen GRS dan BN akan berunding, bermesyuarat untuk menentukan mana satu kerusi yang perlu ditandingi oleh parti-parti berkenaan berdasarkan keupayaan dan boleh memenangi kawasan tersebut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|