GRS-BN komited lindungi kebebasan beragama di Sabah

GRS-BN komited lindungi kebebasan beragama di Sabah

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) sentiasa berusaha mengekalkan hubungan yang baik dan mesra dengan semua badan agama di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, kerajaan negeri di bawah pimpinannya akan menegakkan dan melindungi kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Hajiji berbincang bersama Melter Jiki ketika kunjungan hormat di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

“Menghormati kepercayaan (agama) antara satu sama lain, sentiasa menjadi tonggak kekuatan dan perpaduan kita di Sabah.

“Walaupun berbeza agama dan bangsa, kita di Sabah dapat hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni selama ini. Justeru, kita mesti melindungi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Bishop Anglikan Diosis Sabah, The Most Reverend Datuk Melter Jiki Tais dan rombongan di pejabatnya, di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata, jerajaan GRS-BN juga komited dan meneruskan pemberian bantuan kewangan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam dan sekolah-sekolah bukan Islam di negeri ini.

Katanya, dalam Belanjawan Negeri Sabah 2022, jumlah peruntukan yang diluluskan untuk Pemberian Bantuan Kewangan Bagi Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam sebanyak RM27 juta.

“Setakat bulan Mei 2022, sejumlah RM2,403,150 sudah diagihkan kepada Sekolah-Sekolah Bukan Islam melalui peruntukan khas Ketua Menteri.

“Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam yang menerima bantuan kewangan melalui peruntukan khas saya puka setakat Mei 2022 ialah sebanyak RM1,730,000,” katanya.

Hajiji berkata, secara peribadi beliau juga dari keluarga berbilang kaum dan agama serta mengamalkan prinsip hormat menghormati dalam keluarga.

Beliau juga mengucapkan terima kasih atas penghormatan dan jemputan sebagai tetamu kehormat Majlis Kesyukuran Ulang Tahun ke-60 Anglikan Diosis yang akan diadakan pada 31 Ogos 2022.

Sementara itu, Melter Jiki berkata pihak gereja menyokong kerajaan hari ini dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam membangunkan negeri dan membantu rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|