Kota Kinabalu: Graduan Pusat Latihan Pertanian Bersepadu (IATC) di negeri ini disaran menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi di institut berkenaan untuk memulakan perniagaan berasaskan pertanian berbanding mencari pekerjaan lain.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata pelatih IATC dilengkapkan dengan pengetahuan yang bernilai bukan saja berkaitan pertanian, malah keusahawanan.
“Ini kerana tujuan utama pusat ini adalah untuk melahirkan usahawan tani yang berkeyakinan, berkemahiran dan berdaya saing.
“Oleh itu, kursus yang ditawarkan di pusat ini dibangun dan direka bentuk berdasarkan tujuan utama itu, manakala pelatih dikenal pasti dan dipilih berdasarkan potensi mereka sebagai usahawan tani.
“Ini bermakna pelatih yang bergraduasi hari ini sudah mempunyai bakat dan potensi untuk menjadi usahawan tani yang berjaya.
“Sehubungan itu, saya berharap mereka tidak mensia-siakan bakat ini dengan bekerja makan gaji sepanjang hidup mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen IATC Ke-26 di Wisma Wanita, di sini, hari ini.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, mengucapkan tahniah kepada 49 graduan IATC yang berjaya menamatkan kursus masing-masing dan menggalakkan mereka untuk terus menambah pengetahuan dengan kemahiran lain.
Katanya, ia termasuk berkaitan pemasaran digital untuk mengambil peluang memanfaatkan platform baharu seperti media sosial bagi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.
Beliau turut menggesa agar graduan terbabit melengkapkan diri mereka dengan pengetahun kewangan dan mengambil tahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi lain seperti Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dan AgroBank yang dapat membantu dari segi pembiayaan dana untuk projek mereka dengan kadar faedah yang rendah.
“Saya gembira pelatih di IATC didedahkan kepada amalan pertanian moden seperti akuaponik dan hidroponik.
“Saya yakin bukan saja mereka didedahkan dengan teknologi baharu, malah juga meningkatkan keyakinan mereka dalam melaksanakan projek yang sama pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jiffrin Mohamad, berkata seramai 49 pelatih yang mengambil bahagian dalam lima projek inkubator berlainan berjaya menjana pendapatan kasar RM117,934.90, iaitu yang tertinggi sejak pusat berkenaan memulakan projek inkubator pada 1996.
Pada majlis itu, Elfy Elniora Monis dinobatkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan IATC 2021/2022, Ainelyn Anthony (pelatih terbaik – akademik) dan Norhalizah Mungkit @ Saidi (anugerah usahawan terbaik – industri tanaman).
Pelatih lain ialah Md Azahari Ajit (anugerah usahawan terbaik – ternakan ikan air tawar), Mohd Affendy Al-Nizam (anugerah usahawan terbaik – ternakan dan pemprosesan telur masin), Lickfizol S Laitin (anugerah usahawan terbaik – penanaman tumbuhan, landskap dan fertigasi dan Bryan Balasius (anugerah usahawan terbaik – pemprosesan makanan dan pengurusan kafe).
-Deasoka