Kota Kinabalu: Suasana di Jalan Segama di sini, gempar apabila sebuah kereta jenis Perodua Viva terbakar, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.54 pagi.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran membabitkan sebuah kereta Perodua Viva yang parkir di hadapan sebuah hotel.
“Pasukan bomba kemudian bertindak mengawal dan memadam kebakaran daripada merebak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi terkawal pada 11.03 pagi dan tamat sepenuhnya 11 minit kemudian.
“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
-Deasoka