Semporna: Seramai 10 penumpang van melalui detik cemas apabila kenderaan dinaiki bertembung dengan pacuan empat roda Isuzu D Max di Jalan Semporna – Tawau, Kampung Mentiritip, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, tiga penumpang van cedera selepas tersepit manakala tujuh lagi tidak cedera.
Pemandu dan dua penumpang kenderaan Isuzu D Max tidak cedera.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 4.10 petang.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dikejarkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa tersepit.
“Terdapat tiga mangsa dalam van berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa tersepit kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kemalangan, operasi ditamatkan jam 4.40 petang.
-Deasoka