Ranau: Tiada sebarang kerosakan bangunan dikesan susulan kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di Kundasang pada pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Talib berkata, anggota bertindak melakukan pemantauan di sekitar Pekan Ranau selepas kejadian itu.
“Setakat ini, pihak bomba tiada menerima aduan tentang gempa bumi itu bagaimanapun BBP Ranau ada melakukan pemantauan di kawasan Pekan Ranau.
“Setakat ini keadaan terkawal dan hasil laporan pasukan bomba yang memantau, tiada kerosakan bangunan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Sebelum itu, gempa bumi lemah berukuran 3.7 pada skala Ricther dikesan berlaku di Kundasang, pada jam 9.28 pagi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan memaklumkan gempa bumi itu berlaku di koordinat 6.1 darjah utara dan 116.6 darjah timur di Kundasang.
Gempa bumi itu dikesan pada jarak 14 kilometer Barat Laut dari Ranau dengan kedalaman 10 kilometer.
Gegaran dirasai di sekitar Ranau namun tiada ancaman tsunami kepada negara.
-Deasoka