Keningau: Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya menjadikan Ramadan sebagai medium untuk mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah selaras konsep Keluarga Malaysia.
Ketua Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Jamawi Jaafar, berkata fasa peralihan ke endemik Covid-19 sekarang yang membolehkan beberapa program seperti berbuka puasa, ziarah sempana Ramadan dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh masyarakat Islam.
“Lebih dua tahun negara kita diancam pandemik Covid-19 menyebabkan seluruh pergerakan dan aktiviti tidak dapat dilakukan seperti majlis berbuka puasa dan yang paling menyedihkan tidak dapat meraikan Syawal bersama keluarga.
“Berikutan itu fasa peralihan ke endemik ini ternyata memberikan rahmat untuk kita berjumpa mengeratkan silatulrahim,” katanya pada majlis berbuka bersama rakan seperjuangan dalam badan bukan kerajaan (NGO) di Hotel Perkasa Keningau, di sini, semalam.
Majlis itu dihadiri oleh rakan dalam Badan Belia USIA, bekas kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kemabong, Koperasi Belia Tenom, Pasukan JJFC dan bekas ahli jawatankuasa pergerakan Pemuda UMNO Tenom.
Jamawi berkata, melalui majlis seperti itu hubungan silatulrahim dapat dirapatkan semula setelah hampir dua tahun jarang bersemuka antara satu sama lain disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan untuk berkumpul.
“Di Sabah kita amat bertuah pelbagai kaum dapat berkumpul bersama dalam majlis berbuka puasa yang memberikan gambaran semangat Keluarga Malaysia sebenar yang sudah wujud di negeri ini sejak sekian lama,” katanya.
Jamawi yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Bandar Sabah (SUDC) turut mengingatkan masyarakat agar tidak leka dengan pematuhan SOP walaupun negara sudah beralih ke fasa peralihan ke endemik .
“Dengan kelongaran yang ada ini mungkin kita boleh mengadakan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tetapi sebaiknya dibuat di dalam skala kecil dengan pematuhan SOP yang ditetapkan termasuk aspek kebersihan bagi membendung penularan Covid-19 walaupun angkanya semakin menurun tapi kita jangan leka,” katanya.
-Deasoka