3.2 tan sampah dikutip di Pantai Gorongon, Putatan

Putatan: Sebanyak 3.2 tan sampah berjaya dikutip secara berperingkat di Pantai Gorongon, di sini, sempena sambutan Hari Bumi Sedunia yang disambut pada 22 April lalu.

Program mengutip sampah itu dilaksanakan lebih 60 sukarelawan yang dianjurkan Persatuan Mesra Alam Sekitar Sabah (MASESA) dengan kerjasama syarikat Green Buddy, Tok Kelapa, Axtrada dan I-World Travels Sdn Bhd.

Sampah yang berjaya dikumpulkan sempena sambutan Hari Bumi Sedunia di Pantai Gorongon, Putatan.

Presiden MASESA, Ainie Jamin berkata, jumlah keseluruhan sampah yang dikutip itu dikira sejak 3 April lalu sehingga kelmarin.

Katanya, program itu dilaksanakan sebanyak empat kali sepanjang bulan ini.

“Pada 3 April lalu, kita telah mengutip sebanyak 456.90 kilogram (kg) sampah dan seterusnya pada 10 April telah membuat kutipan sampah sebanyak 1072.59 kg.

“Kemudian pada 17 April, sebanyak 546.20 kg sampah dikutip dan kemuncak program semalam (kelmarin) dimana kita telah mengutip sebanyak 1,114.15 kg,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.

Ainie berkata, semua pihak sama ada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam harus memainkan peranan dalam menangani masalah kebersihan alam sekitar khususnya membabitkan tempat awam.

“Sudah tiba masanya kita mengambil langkah yang lebih praktikal dalam menangani masalah berkaitan kebersihan alam sekitar.

“Bila saya bercakap tentang langkah yang lebih praktikal, saya bukan maksudkan tentang pelaksanaan gotong royong semata-mata tetapi semua pihak sama ada kerajaan, NGO atau mana-mana individu harus memainkan peranan merangka strategi lebih berkesan dalam menangani masalah ini untuk satu tempoh masa yang lebih panjang.

“Namun dalam merangka strategi-strategi baharu ini, akar umbi yang paling penting untuk difikirkan semua pihak adalah bagaimana kita menangani dan menekankan tahap kesedaran masyarakat terhadap kebersihan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak berkaitan harus memainkan peranan mereka bagaimana menangani isu sampah.

“Pihak-pihak ini harus memainkan peranan bagaimana mereka mahu menyampaikan dan menangani berkenaan isu, permasalahan dan kesan jika kebersihan alam sekitar tidak diatasi dari segala sudut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|