3L punca kes kebakaran

Kota Kinabalu: “Kebanyakan kes kebakaran berpunca dari kecuaian dan berkaitan dengan sindrom 3L iaitu lupa, lalai dan leka.”

Demikian kata Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan ketika diminta mengulas mengenai kekerapan punca berlakunya kebakaran di Sabah sepanjang bulan Ramadan.

Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan.

Menurutnya, orang ramai dan komuniti perlu sentiasa peka dan beringat ketika menggunakan peralatan elektrik atau pun peralatan dapur memasak.

Katanya, langkah-langkah pengawasan, pencegahan dan pelindungan dari kebakaran perlu di ambil perhatian serius.

Farhan menyampaikan risalah keselamatan sempena Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 peringkat JBPM Sabah.

“Pepasangan dan perkakasan eletrik perlu diguna dengan betul dan selamat serta bebas daripada kerosakan selain, pemeriksaan terhadap pendawaian lama yang berpotensi berlakunya litar pintas.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, masyarakat juga disarankan supaya melengkapi rumah dengan sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api mudahalih bagi menangai kebakaran kecil atau peringkat awalan dengan  cepat dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Kempen Keselamatan Kebakaran Hari Raya Aidilfitri 2022 yang diadakan di Kampung Numbak, di sini, hari ini.

Farhan berkata, masyarakat juga digalakkan untuk memasang alat pengesan asap mudahalih yang berperanan memberi amaran awal kebakaran.

Sementara itu, Farhan berkata, berdasarkan statistik keseluruhan panggilan kecemasan bagi tahun 2020 dan 2021, jumlah keseluruhan panggilan kecemasan meningkat sebanyak 35.21 peratus bersamaan 12,077 panggilan.

Namun katanya, peningkatan itu disebabkan faktor pertambahan panggilan bagi tugas-tugas khas  operasi sanitasi awam yang dilaksanakan di seluruh negeri Sabah.

“Pecahan bagi panggilan kebakaran pada 2021 pula menurun sebanyak 43.32 peratus iaitu sebanyak 1,655 berbanding tahun 2020 iaitu 2,920 jumlah panggilan.

“Baru-baru ini kejadian kebakaran penempatan atas air di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, sangat menyayat hati dengan berita kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun.

“Hal ini yang sangat tidak diingini berlaku dan seharusnya dielakkan di masa akan datang. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Farhan berkata, dalam kempen kali ini, JBPM juga amat menggalakkan penglibatan kanak-kanak untuk memberi pendedahan dan seterusnya memberi kesedaran kepada semua peringkat masyarakat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|