Sandakan: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada di Sabah yang dijangka berlaku esok hingga Khamis ini.
Berdasarkan kenyataan media melalui laman sosial MET Malaysia pagi tadi, antara kawasan dijangka terlibat ialah Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran, Kudat dan Tambunan.
Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan ribut dan petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh itu di sesuatu kawasan.
Dalam satu kenyataan berasingan pula, MET Malaysia memaklumkan berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS), satu sistem cuaca tekanan rendah dikesan.
Sistem cuaca itu dilaporkan dikesan di selatan Filipina dan dijangka bergerak merentasi pantai timur Sabah ke Laut China Selatan dalam tempoh 27 hingga 28 April ini.
Keadaan berkenaan akan menyebabkan penumpuan angin dan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di Sabah dalam tempoh tersebut.
Susulan itu, MET Malaysia menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih.
-Deasoka