Bekas Finalis MasterChef Malaysia dapat ikat jamin

Kota Kinabalu: Bekas Finalis MasterChef Malaysia yang dituduh membunuh pembantu rumahnya pada tahun lalu berjaya dalam permohonannya bagi mendapatkan ikat jamin di Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini.

Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong, 34, mendapat jaminan itu selepas permohonannya didengar hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Supang Lian dan Datuk M Gunalan.

Peguam Datuk Seri Rakhbir Singh yang mewakili tertuduh dan pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebelum itu mengemukakan hujahan masing-masing mengenai permohonan berkenaan.

Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya membenar dan memerintahkan Etiqah dilepas serta dibebaskan atas jaminan dengan syarat membayar deposit RM30,000 bersama seorang penjamin tempatan.

Tertuduh juga diperintah menyerahkan pasport dan semua dokumen perjalanannya di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selain perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada jam 12 tengah hari, setiap Isnin.

Etiqah bersama suaminya, Mohammad Ambree Yunos @ Unos, 40, yang juga seorang kontraktor berdepan dakwaan membunuh pembantu rumah mereka, Nur Afiah Daeng Damin, 28, di sebuah rumah di Amber Tower, Lido Avenue, Jalan Lintas, Penampang antara 10 Disember dan 13 Disember 2021.

Pasangan berkenaan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan jaminan tertuduh bagi mendapatkan pelepasan melalui notis usul meminta mahkamah menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.

Kedua-dua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada 28 Disember lalu dan tidak dibenarkan diikat jamin memandangkan pertuduhan ke atas mereka membabitkan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|