Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga bagi 22 jenis barangan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 (SHMMP-HRP 2022) berkuatkuasa hari ini hingga 6 Mei depan.
Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua barangan mematuhi skim harga maksimum ditetapkan.
Katanya, skim harga maksimum ini adalah komitmen KPDNHEP untuk memastikan keluarga Malaysia dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (COL) ketika ini.
“Ini adalah kerana permintaan ke atas barangan tertentu dijangka meningkat menjelang perayaan Hari Raya Puasa yang bakal disambut pada 3 Mei depan.
“Ini termasuk tindakan kementerian melaksanakan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam pada 5 Februari lalu dan ia berkuatkuasa sehingga 5 Jun depan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Georgie berkata, ia sebagai langkah untuk menstabilkan harga ayam dan telur ayam serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.
Katanya, 22 jenis barangan ditetapkan kali ini melibatkan kategori hasil laut, barangan kering, sayuran dan daging.
“Antara barangan termasuk daging lembu tempatan, daging lembu import, daging kerbau import, ikan kembung, ikan mabung, ikan selayang, ikan aya atau tongkol, ikan demudok, Sagai, Cermin dan Cupak.
“Selain itu, turut tersenarai, tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, terung panjang, timun, halia tua import, bawang merah, bawang besar dan bawang putih.
“Begitu juga dengan ubi kentang import, cili kering, kacang tanah dan kelapa biji serta kelapa parut,”katanya.
Georgie berkata, bagi penentuan harga ayam dan telur ayam terbahagi kepada enam kategori antaranya ayam hidup, ayam standard dan ayam super serta tiga gred telur.
Sementara itu, Georgie berkata, seramai 200 pegawai penguatkuasa dan 85 pegawai pemantau harga KPDNHEP ditempatkan di seluruh negeri.
Katanya, mereka akan ditempatkan di lokasi tumpuan ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya.
“Ia bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini.
“Setiap maklumat ataupun sebarang pertanyaan juga boleh disalurkan kepada KPDNHEP menerusi Aplikasi WhatsApp, emel, aduan online seperti berikut,” katanya.
WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDNHEP
-Deasoka