PPM gagalkan cubaan seludup 1,000 telur penyu

Sandakan: Tindakan dua lelaki mencampakkan guni di bawah jeti kayu di kawasan setingggan Bandar Letat, Batu 3, di sini, apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, membawa kepada penemuan kira-kira 1,000 telur penyu, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, ketika pihaknya menjalankan rondaan di kawasan berkenaan melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika dihampiri, dua lelaki terbabit mencampakkan sesuatu ke bawah jeti sebelum melarikan diri ke kawasan bakau.

“Pemeriksaan di kawasan itu kemudian menemui dua guni berisi 1,000 biji telur penyu disembunyikan dipercayai untuk dipasarkan kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rusdin berkata, semua telur penyu yang diseludup masuk ke daerah ini dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Rampasan telur penyu dianggarkan bernilai RM2,000 dan kes disiasat mengikut Kesalahan Enakmen Pemulihan Hidupan Liar 1997.

“Sehubungan itu, masyarakat maritim dan pesisir pantai diminta supaya menyalurkan maklumat kepada Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi whatsApp ke talian 0139391197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|