Lahad Datu: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah melancarkan satu operasi pemasangan kolar Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) seekor gajah betina dengan kerjasama Pusat Pemuliharaan Gajah Borneo, semalam.
Pegawai JHL, Sylvister Saimin berkata, pemasangan kolar GPS berkenaan bertujuan untuk memudahkan pihaknya mengesan pergerakan kumpulan gajah berkenaan.
Katanya, ia juga bagi memudahkan kerja-kerja pengawalan bagi memastikan kumpulan haiwan berkenaan sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
“Operasi kita adalah untuk memasang kolar pada seekor gajah untuk satu kawanan haiwan berkenaan.
“Tujuanya adalah bagi memudahkan kita mengesan serta melakukan pengawalan pergerakan kumpulan gajah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sylvister berkata, pemasang kolar ini atas sumbangan daripada pihak WWF cawangan Sabah
Katanya, ini akan memudah kita untuk mengesan dan mengawal gajah-gajah daripada menceroboh atau masuk ke kawasan ladang.
“Sebelum pemasangan kolar, pemilihan gajah betina yang matang dan mencukupi kriteria akan dilakukan oleh pihak Pusat Pemuliharaan Gajah Borneo.
“Gajah terpilih kemudiannya akan ‘ditembak’ dengan pelali bagi memudahkan kerja pemasangan kolar,” katanya.
Doktor Veterinar yang terlibat dalam operasi berkenaan, Yohindrau Balakrishna berkata, sampel darah berkenaan juga akan diambil untuk tujuan kajian genetik.
Katanya, menerusi sampel darah itu, pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan kesihatan gajah serta untuk kegunaan kajian genetik.
“Gajah berkenaan sudah diberikan antidot yang berfungsi untuk menghilangkan kesan ubat bius yang dikenakan pada gajah.
“Gajah berkenaan akan dilepaskan untuk kembali bersama kawananya ke dalam hutanlah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Penguasa Pusat Pemuliharaan Gajah Borneo, Jibius Dausip berkata, pemasangan kolar kali ini berjaya dilakukan dalam tempoh tiga jam.
Katanya, ia berjalan lancar berbanding dengan operasi sebelumnya di mana ada yang mengambil masa berhari-hari sehingga berminggu-minggu.
“Operasi pemasangan kolar gajah ini dijalankan di kawasan kebun kecil berhampiran Hutan Mersuli, Ulu Segama yang merupakan antara kawasan bagi gajah liar spesis Borneo Pygmy Elephant,” katanya.
-Deasoka