Gagal seludup minyak masak, tekong nekad terjun laut

Gagal seludup minyak masak, tekong nekad terjun laut

Semporna: Seorang tekong nekad terjun ke dalam laut sebelum melarikan diri ke daratan bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam kejadian di perairan daerah ini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, suspek terbabit bertindak demikian selepas dikesan melakukan aktiviti menyeludup minyak masak paket bersubsidi menggunakan bot pam.

Bot dengan muatan minyak masak bersubsidi yang dirampas ketika cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot peronda Maritim Malaysia mengesan bot berkenaan bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi 0.7 batu nautika Timur Laut Pulau Kulapuan.

Katanya, ketika dihampiri tekong bot bertindak mengemudi bot ke kawasan lebih cetek lalu terjun dan melarikan diri ke daratan berhampiran.

Anggota Maritim Malaysia turut menemui detonator di dalam bot berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas bot menemui kira-kira satu tan minyak masak dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Turut ditemui bahan peledak ‘Detonator’ buatan sendiri. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin bernilai RM8,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak tanpa cukai.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini.

“Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah melalui jalan laut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|