Selesaikan segera masalah air penduduk Sepanggar

Selesaikan segera masalah air penduduk Sepanggar

Kota Kinabalu: Penduduk di kawasan Sepanggar yang berdepan gangguan bekalan air berharap pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dapat menyelesaikan masalah berkenaan dengan segera.

Malah penduduk turut menuntut mekanisme catuan air yang lebih baik dapat dilaksanakan agar tidak terus membebankan rakyat.

Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung masalah berkenaan yang sudah berlarutan sehingga bertahun lamanya.

Katanya, kebanyakan mereka yang ditemui memahami bahawa catuan adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan sementara penyelesaian jangka masa panjang dapat dilaksanakan.

“Namun, JANS perlu mengeluarkan beberapa penyelesaian lain seperti menyediakan lori tangki untuk penghantaran air tambahan.

“JANS juga perlu memastikan catuan yang dibuat mengikut jadual ditetapkan agar bekalan air mencukupi memandangkan banyak aktiviti harian terjejas akibat tindakan ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Thien Fook berkata, perkara itu perlu tindakan proaktif dan serius dalam mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah bekalan air khususnya di kawasan Sepanggar.

Malah katanya, punca kepada masalah yang sudah berlanjutan sejak sekian lama itu tidak sepatutnya dibiarkan tanpa sebarang penjelasan.

“Penduduk yang terpaksa menanggung kesengsaraan akibat permasalahan itu perlu diberikan penerangan mengenai punca, perancangan dan jaminan penyelesaian.

“Begitu juga dengan kerajaan negeri yang seharusnya mencari jalan penyelesaian segera dalam menyelesaikan masalah ini.

“Ia memandangkan Sepanggar dan kawasan sekitarnya semakin pesat membangun dari semasa ke semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|