Ford Everest generasi baharu tampil lebih berkuasa, maskulin

Ford Everest generasi baharu tampil lebih berkuasa, maskulin

Kuala Lumpur: Selaku pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) memperkenalkan Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Ford Everest generasi baharu, yang menggabungkan kemampuan pengembaraan dengan keselesaan optimum, berkuasa dan berimej mewah.

Sebagai pilihan, terdapat tiga gred SUV tujuh tempat duduk ditawarkan bagi generasi terbaharu berkenaan — Sport (pacuan dua roda), Trend (pacuan empat roda) dan varian spesifikasi paling tinggi, Titanium 4WD.

DNA Ford terserlah daripada pandangan sisi.

Kedua-dua Everest generasi baharu Trend dan Titanium dikuasakan enjin 2.0L Bi-Turbo yang telah terbukti dan dipadankan dengan transmisi automatik SelectShift 10-kelajuan yang menjana 210 PS @ 3,500 rpm dan tork maksimum 500 Nm @ 1,750-2,000 rpm.

Varian ini dilengkapi sistem 4×4 elektronik separuh masa shift-on-the-fly (ESOF) dengan e-Locking Rear Differential dan enam pilihan mod pemanduan: Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sands.

Gaya sporty dan maskulin.

Sementara itu, Everest Sport pula menggunakan enjin 2.0L Single Turbo dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan menyediakan kuasa 170 PS @ 3,500 rpm dan tork maksimum 405 Nm @ 1,750-2,000 rpm.

Ia turut menawarkan empat pilihan mod pemanduan: Normal, Eco, Tow/Haul dan Slippery.

Rekaan belakang tampak lebih tegap.

Rekaan luaran memperlihatkan ciri mewah dan eksklusif sekiranya dilihat daripada pandangan sisi, imejnya ditonjolkan lagi dengan garis badan yang ketara, dari depan hingga ke belakang.

Lekuk roda yang lebih besar memperkukuhkan lagi imej tegap yang sedia ada, memberi kelainan tersendiri kepada Everest generasi baharu ini.

Enjin 2.0L Bi-Turbo.

DNA rekaan global Ford terserlah pada bahagian lampu nyalaan siang (DRL) LED bentuk C yang bersepadu dengan palang gril di hadapan, membawa kesan penggayaan wajah depan yang lebih maskulin. Tema sama diteruskan di belakang dengan kehadirannya lampu LED bersepadu berkelebaran penuh.

Varian Sport dan Trend dilengkapi lampu LED, sementara Titanium menampilkan lampu utama LED Matrix terkini Ford dengan lampu tinggi anti-silau untuk memberikan penglihatan maksimum tanpa menyilaukan mata pengguna jalan raya lain.

Ruang dalaman serba mewah.

Lampu utama Matrix menawarkan kemampuan belokan dinamik dan statik serta pencahayaan yang bergantung kepada kelajuan, yang boleh juga melaraskan pancaran cahayanya mengikut kelajuan kenderaan.

Lampu kabus LED di depan dan belakang serta lampu brek LED adalah standard untuk semua varian.

Transmisi automatik SelectShift 10-kelajuan.

Roof rail yang baharu pula bukan sekadar tentang perincian rekaan: ia direka untuk berfungsi memberikan sokongan yang pelbagai dan berguna untuk mengangkut basikal, kanu, pod kargo atau khemah bumbung.

Sport dan Titanium didatangkan dengan rim aloi bersaiz 20 inci, sementara Trend menggunakan saiz 18 inci.

Everest generasi baharu ini mempunyai kemampuan meredah air sedalam 800 mm dengan jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm sementara varian Titanium turut dilengkapi ciri pintu ruang kargo bebas kendalian tangan dan kini turut menampilkan bumbung panoramik panel berkembar.

Menjengah ke ruang kabin, satu daripada perkara pertama yang akan disedari ketika masuk ke dalam Everest ini adalah penggunaan material yang mewah serta kemasan premium dengan lampu suasana di segenap sudut.

Keluasan ruang pada Everest generasi baharu ini disumbangkan lagi oleh panel instrumen yang lebar. Tidak ketinggalan, ada 10 ruang untuk cawan keseluruhannya termasuk di konsol tengah, perehat lengan serta di papan pemuka.

Ruang siku, kaki dan bahu juga lebih luas di depan dan belakang, serta untuk masuk ke barisan ketiga juga kini lebih senang kerana kerusi barisan kedua boleh dilaras lebih jauh ke depan berbanding sebelumnya.

Ford memberi keutamaan terhadap tempat duduk yang fleksibel untuk Everest generasi baharu ini, dengan lipatan kerusi kuasa elektrik untuk Titanium. Kerusi barisan kedua dan ketiga telah direka untuk dilipat rata bagi membolehkan barangan panjang dibawa dengan selamat.

Everest generasi baharu juga menampilkan ciri brek parkir elektronik (dengan e-Shifter untuk Titanium), tiga soket 12V, kerusi balutan kulit hitam premium kini dengan larasan lapan arah untuk pemandu dan penumpang depan serta kemasan dalaman ebony.

Sebagai tambahan, Titanium mempunyai outlet kuasa 230V AC yang boleh menyalurkan 400W.

Sebagai tambahan kepada ruang dalaman yang diperhalusi, Ford turut memberi tumpuan dalam menyediakan teknologi ketersambungan masa kini untuk Everest generasi baharu ini.

Kelengkapan utamanya termasuklah skrin sentuh menegak 12 inci untuk Titanium (10.1-inci bagi Trend dan Sport), dipadankan pula dengan sistem infotainmen Ford SYNC® 4A dengan sambungan tanpa wayar bagi Apple CarPlay™ dan Android Auto™ dan lapan pembesar suara.

Everest Titanium juga dilengkapi dengan kamera 360-darjah dengan paparan terbahagi sementara Trend dan Sport dilengkapi dengan kamera undur sebagai tambahan kepada sensor depan dan belakang.

Semua versi Ford Everest generasi baharu datang standard dengan panel instrumen digital 12- nci yang menggantikan kluster analog tradisional, empat slot pengecas USB (satu di cermin utama) dan pengecas tanpa wayar Qi.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengarah Urusan Pengedaran Pasaran Ford Asia Pasifik, DJ Simpson.

Hadir sama Pengarah Urusan SDAC-Ford, Turse Zuhair dan Pengarah Urusan Jualan dan Pengedaran Malaysia Sime Darby Motors, Jeffrey Gan.

Sama ada di laluan off-road atau trafik bandar, Ford Everest generasi baharu datang lengkap dengan barisan ciri dan teknologi untuk membantu dan memudahkan pemandu, sekaligus memberikan tahap keselamatan yang meyakinkan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Bagi perlindungan penumpang, semua varian lengkap dengan tujuh beg udara (pemandu dan penumpang depan, dua sisi kerusi, dua sisi tirai yang melindungi semua barusan kerusi dan lutut pemandu) serta pelindung bahagian bawah badan kenderaan.

Ciri keselamatan aktif untuk semua varian Everest ini termasuklah cagak Isofix, ABS, EBD, kawalan kestabilan elektronik (ESC) dengan kawalan cengkaman, bantuan brek kecemasan (EBA), kawalan menuruni bukit, bantuan mula mendaki, penghindar kenderaan daripada terbalik dan kawalan beban adaptif.

Bagi ciri bantuan pemandu pula, Everest generasi baharu Sport dan Trend datang lengkap dengan lampu isyarat berhenti kecemasan, bantuan belokan, kawalan melayar, sensor parkir depan dan belakang serta kamera undur.

Everest Titanium sebagai varian paling premium pula menerima penambahan ciri lain seperti sistem maklumat titik buta (BLIS), amaran dan bantuan penukaran lorong (LDW), bantuan lampu tinggi dan sistem pemantau tekanan tayar.

Teknologi baharu dan yang dipertingkat termasuk kawalan melayar adaptif dengan ciri Stop/Go dan ciri ke tengah lorong yang boleh mengesan tanda lorong dan membantu kenderaan berada di laluan betul.

Active Park Assist 2.0 membolehkan Everest baharu ini membantu pemandu masuk ke ruang parkir mengiring dengan hanya satu butang. Dengan bantuan sensor ultrasonic, sistem akan mengambil alih stereng, penukaran gear, pedal minyak dan brek untuk mengalih kenderaan ke ruang berkenaan. Ia juga boleh membawa kenderaan keluar daripada ruang parkir.

Evasive steer assist pula membantu pemandu mengelak perlanggaran hadapan yang mungkin terjadi dengan membantu mengalihkan pusingan stereng dengan mudah ketika perlanggaran tidak lagi boleh dielakkan oleh brek semata-mata.

Bantuan brek undur membolehkan pemandu mengundur ke ruang parkir dan ruang sempit lainnya dengan memberikan amaran bunyi dan visual. Ia boleh mengesan kenderaan melintas atau pengayuh basikal/pejalan kaki di belakang kenderaan juga. Sistem ini bahkan boleh memberhentikan Everest sepenuhnya sekiranya pemandu tidak bertindak balas dalam masa yang sepatutnya.

Selain itu, amaran lintasan trafik di belakang akan memberi amaran sekiranya ada kenderaan yang menghampiri dari arah belakang ketika mengundur. Ini amat membantu ketika ingin keluar ke laluan utama atau dari ruang parkir.

Brek kecemasan autonomous dengan pengesan pejalan kaki, amaran perlanggaran hadapan, sokongan brek dinamik dan bantuan pra-perlanggaran. Selain menghindar atau mengurangkan kecederaan ketika perlanggaran dengan kenderaan, pejalan kaki atau pengayuh basikal di depan, bantuan pra-perlanggaran juga telah dipertingkat untuk memberikan sokongan brek kecemasan di persimpangan.

Harga atas jalan (tidak termasuk insurans) bagi Ford Everest generasi terbaharu ini adalah RM263,888 bagi varian Sport, Trend (RM281,888) dan RM308,888 untuk varian Titanium.

Tujuh pilihan warna ditawarkan iaitu Absolute Black, Aluminium Metallic, Artic White, Equinox Bronze, Lightning Blue, Meteor Grey dan Sedona Orange.

Ford Everest generasi terbaharu ini datang dengan jaminan pengeluar selama tiga-tahun atau hingga 100,000 km, yang mana dulu. Lanjutan jaminan selama dua-tahun atau 60,000 km, yang mana dulu turut ditawarkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|