Fiesta Makanan Bugis rancakkan aktiviti pelancongan Sabah

Fiesta Makanan Bugis rancakkan aktiviti pelancongan Sabah

Tawau: Fiesta Makanan Etnik Bugis yang diadakan di daerah ini bukan sahaja akan merancakkan aktiviti pelancongan, tetapi turut menggalakkan penyertaan komuniti terlibat dalam industri berasaskan seni dan warisan budaya.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah berkata, program itu juga bakal menjadi perintis untuk program yang lebih besar di masa akan datang.

“Salah satu fokus kita untuk membangunkan produk pelancongan berasaskan warisan dan budaya, yang akan pastinya akan menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara,” katanya selepas hadir mewakili menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin merasmikan Fiesta itu, di sini, semalam.

Tambah Mohd Yusrie lagi, fiesta itu tidak hanya mengetengahkan keunikan adat dan budaya setiap kaum yang ada, tetapi ia juga berpotensi untuk dibangunkan sebagai salah satu produk pelancongan penting di Sabah.

Justeru, kementerian menyokong penuh penganjurannya dan berharap ia dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi dengan penyertaan seluruh etnik di negeri ini.

Terdahulu, Fiesta Makanan Etnik Bugis Tawau merupakan program yang julung kali diadakan dengan menyajikan pelbagai makanan tradisional etnik Bugis selain turut disertai dengan tarian yang penuh dengan adat budaya etnik itu.

Antara makanan yang disajikan termasuk Berongko, Sikapuru, Kapurung, Baje, Palaya, Baulu Pecca, Sokko, Palopo, Tumpi-Tumpi, Beppalaya dan banyak lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|