20 kakitangan FSSA UMS hadiri Bengkel Akademik FSSA

20 kakitangan FSSA UMS hadiri Bengkel Akademik FSSA

Kota Kinabalu: Seramai 20 kakitangan akademik Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) hadir menyertai Bengkel Akademik FSSA yang diadakan baru-baru ini.

Dekan FSSA, Profesor Dr Jualang Azlan Gansau berkata, bengkel itu bertujuan untuk meneliti, menambah baik dan memastikan matlamat program bagi Objektif Pendidikan Program (PEO) dan Hasil Pembelajaran Program (PLO) sentiasa selari bagi semua program Sarjana Muda yang ditawarkan di FSSA.

“Ia juga bagi membuat pemurnian serta memperkasakan reka bentuk dan penyampaian kurikulum, di samping merancang unjuran kakitangan akademik dan penambahbaikan berterusan terhadap program yang ditawarkan di FSSA dengan melibatkan pemegang taruh.

“Pada masa yang sama, ia sebagai satu usaha ke arah memastikan kualiti program sentiasa terjamin dan relevan dengan peredaran semasa sekali gus melahirkan graduan yang berkualiti dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan bengkel yang diadakan di salah sebuah hotel di sini.

Jualang dalam pada itu berharap, agar hasil yang diperoleh sepanjang dua hari bengkel itu diadakan dapat mencapai sasaran pengurusan fakulti dan universiti bagi menghasilkan modal insan yang menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan negara.

“Kita juga telah membuat penjenamaan semula program pengajian yang ada di FSSA supaya selaras dengan struktur kursus seperti yang digariskan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.

Sebelum itu, bengkel berkenaan dihadiri terdiri daripada timbalan-timbalan dekan, ketua-ketua program, penyelaras kualiti akademik dan pensyarah yang mewakili kesemua program sarjana muda yang ditawarkan di FSSA.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|