ESSCOM tahan 55 PATI, rampas 69 pambot dalam Ops Gasak Laut di ESSZONE

ESSCOM tahan 55 PATI, rampas 69 pambot dalam Ops Gasak Laut di ESSZONE

Lahad Datu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan seramai 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas sebanyak 69 buah pambot dalam Operasi Gasak Laut (pambot) secara serentak dan bersepadu di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), hari ini.

Operasi yang bermula kira-kira jam 6 pagi dan berakhir 6 petang tadi itu dilaksanakan meliputi empat daerah iaitu Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Antara PATI yang ditahan dalam Operasi Gasak Laut di perairan ESSZONE.

Komander ESSCOM Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, Operasi Gasak Laut (pambot) bertujuan bagi membendung penyalahgunaan pambot yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Katanya, ketika pemeriksaan seramai 55 PATI yang terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pasukan keselamatan bersiap sedia melaksanakan Operasi Gasak Laut di perairan ESSZONE.

“Semua PATI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah yang berkaitan.

“Selain itu, sebanyak 88 buau pambot milik warga tempatan dan asing telah diperiksa secara serentak di semua perairan berkenaan.

Antara pambot yang dirampas dalam operasi berkenaan.

“Hasil daripada operasi yang dijalankan, ESSCOM berjaya menahan dan merampas sebanyak 69 buah pambot kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua pambot yang melanggar undang-undang/peraturan berkaitan diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) untuk tindakan selanjutnya.

Pasukan keselamatan memeriksa pambot di kawasan ESSZONE dalam Operasi Gasak Laut.

Katanya, berdasarkan rekod tangkapan dan pemantauan pihak berkuasa mendapati pambot sering digunakan elemen penjenayah rentas sempadan yang ingin melakukan aktiviti penculikan, rompakan, penyeludupan dan pengeboman ikan di perairan ESSZONE.

“Sehubungan itu, ESSCOM akan memperhebatkan operasi untuk membanteras penggunaan pambot haram dari semasa ke semasa.

“Semua pemilik pambot di perairan pantai timur Sabah dinasihatkan untuk mendapatkan lesen sah yang dikeluarkan oleh pihak JPDS bagi mengelak daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Masyarakat juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di pantai timur Sabah ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 arau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya.

Terdahulu, Operasi Gasak Laut (pambot) ESSCOM membabitkan tindakan seramai 375 pegawai dan anggota di keempat-empat daerah berkenaan terdiri daripada pelbagai Jabatan/Agensi Persekutuan/Negeri antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, turut terbabit, JPDS, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Laut Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Daerah/Perbandaran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|