Hajiji lancar Konvoi Semarak Hari Malaysia dan serah Bantuan Prihatin

Hajiji lancar Konvoi Semarak Hari Malaysia dan serah Bantuan Prihatin

Tuaran: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melancarkan Konvoi Semarak Hari Malaysia di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, Kampung Lok Batik, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Negeri turut menyampaikan sumbangan berupa Bantuan Pembelian Peralatan Motosikal kepada seramai 150 penunggang P-Hailing dan sumbangan Bantuan Prihatin kepada seramai 150 penerima dari kawasan Tuaran.

Hajiji menyampaikan Bantuan Prihatin sempena Pelancaran Konvoi Semarak Hari Malaysia dan Penyampaian Sumbangan Bantuan Prihatin di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, Kampung Lok Batik Tuaran.

Hajiji berkata, Konvoi Semarak Hari Malaysia dan Bantuan Prihatin merupakan program menyantuni golongan muda dan golongan yang kurang berkemampuan di Tuaran.

Katanya, kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada program yang melibatkan penyertaan anak-anak muda supaya mereka terlibat dengan program dan aktiviti yang berfaedah, positif dan sihat.

Mengulas mengenai Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) sebanyak RM10 juta, Hajiji berkata, ia adalah salah satu inisiatif Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi membantu usahawan belia di Sabah.

Beliau turut mengalu-alukan usahawan belia memohon skim itu dan kerajaan mahu golongan belia turut melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Sekiranya peruntukan yang disediakan tidak mencukupi, inshaAllah kita akan
pertimbangkan menambahnya,” katanya.

Program Pelancaran Konvoi Semarak Hari Malaysia dan Penyampaian Sumbangan Bantuan Prihatin adalah adalah anjuran bersama Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Jabatan Ketua Menteri, Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), Persatuan Cakna Masyarakat Sabah (PEMERKASA) dan Tuaran Youth Town Club (TYTC).
Konvoi Semarak Hari Malaysia disertai oleh seramai 150 peserta, melibatkan jarak sejauh 10 kilometer.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai, Pengarah IKRAR, Azrul Ibrahim; Pengarah YKS, Rugayah Ag Besar dan Pegawai Daerah Tuaran, Syahrin Samsir.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|