Kota Kinabalu: Sambutan tahun baharu enam keluarga bertukar tragedi apabila rumah mereka di Sunny Garden, di sini, terbakar hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, seorang anggota bomba turut berdepan detik mencemaskan selepas terjatuh dari bumbung ketika operasi pemadaman dijalankan.
Bagaimanapun, mangsa difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.36 petang.
Katanya, sepasukan 24 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan enam rumah teres jenis separuh kekal berukuran 111 meter persegi. Sebuah rumah musnah manakala lima lagi terjejas sehingga 50 peratus.
“Pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran dengan empat pancutan sepanjang 91 meter dari sumber air dari tangki jentera dan pili Bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, anggota bomba yang terjatuh dari bumbung semasa membuat pemadaman dihantar ke Hospital menggunakan EMRS untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
Katanya, anggota berusia 43 tahun terbabit kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih ditempatkan di hospital untuk rawatan selanjutnya.
“Pasukan operasi berjaya mengawal api kebakaran daripada terus merebak ke rumah berhampiran pada jam 3.02 petang.
“Pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.36 petang,” katanya.
-Deasoka