Kapsul pelangsing badan antara dirampas Maritim Malaysia

Kapsul pelangsing badan antara dirampas Maritim Malaysia

Tawau: Kapsul pelangsing badan antara pelbagai barangan yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas menahan sebuah bot kargo di perairan daerah ini, awal pagi tadi.

Bot kargo tempatan yang dikendalikan seorang juragan ditahan oleh bot peronda Maritim Malaysia Zon Tawau melalui Ops Sejahtera/Ops Pluto Timur.

Pegawai Maritim Malaysia menunjukkan pelbagai barangan yang dirampas selepas menahan sebuah bot kargo di perairan Tawau.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot kargo itu ditahan di kedudukan 0.4 batu nautika Selatan Kuala Sungai Tawau, selepas dikesan mencurigakan bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke perairan Tawau.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot kargo mendapati seorang lelaki yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah bertindak sebagai juragan.

Bot kargo membawa muatan pelbagai barangan dan produk dari negara jiran ditahan.

“Pemeriksaan menyeluruh menemukan pelbagai barangan dan produk dari negara jiran iaitu kain batik, krim kecantikan dan kapsul pelansing badan yang dipercayai ingin diseludup masuk ke Tawau untuk pasaran tempatan.

“Juragan berusia lingkungan 18 tahun gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barang-barang berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, juragan dan bot serta muatan seterusnya ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tawau.

“Semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM200,000.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Sementara itu, Shahrahim berkata, statistik tangkapan Zon Maritim Tawau merekodkan 65 kes tangkapan pelbagai kesalahan sepanjang 2022.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|