Empat rumah terbakar di Kampung Kapa

Empat rumah terbakar di Kampung Kapa

Tuaran: Empat rumah jenis separuh kekal terbakar dalam kejadian di Kampung Kapa, Jalan Ranau, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, semua rumah berkeluasan 1,328 meter persegi berkenaan musnah lebih 80 peratus selepas berjaya dikawal pasukan bomba.

Keadaan rumah yang terbakar di Kampung Kapa, Jalan Ranau, Tuaran.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1 petang.

Katanya, seramai sembilan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman kebakaran bagi mengawal api daripada terus merebak.

“Pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran dengan dua pancutan 60 meter menggunakan sumber air dari tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden ini.

Katanya, api kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.39 petang daripada terus merebak ke rumah berhampiran di lokasi kejadian.

“Operasi ditamatkan jam 3.20 petang dan siasatan lanjut berhubung punca kejadian serta jumlah kerugian masih sedang giat dijalankan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|