Empat rumah musnah terbakar

Empat rumah musnah terbakar

Keningau: Penghuni empat rumah di Kampung Motou, Jalan Masak, di sini tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka hangus dalam kebakaran, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, kebakaran membabitkan keluasan 845 meter persegi yang musnah sepenuhnya.

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran memusnahkan empat rumah di Kampung Motou, Jalan Masak, Keningau.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8 malam.

Katanya, sepasukan 16 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

Empat rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Motou, Jalan Masak, Keningau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah memusnahkan sebahagian besar daripada empat rumah berkenaan dan operasi dimulakan segera bagi mengelakkan api daripada terus merebak ke rumah berhampiran.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 60 meter dengan tiga pancutan daripada sumber air jentera dan parit berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api akhirnya berjaya dikawal daripada terus merebak dari 13 lagi rumah berhampiran.

Katanya, tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini dan api berjaya dikawal pada jam 9 malam.

“Pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.47 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|