Kota Kinabalu: Tahun Harimau mengikut kalender Cina yang akan menjelang Selasa depan diramal bakal membawa kejayaan tertentu atau indikasi berkaitan usaha memulihkan ekonomi negara, khususnya di Sabah.
Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri T C Goh berkata, oleh itu, semua pihak seharusnya bersatu padu dan bekerja keras supaya segala perancangan untuk memulihkan ekonomi dapat dilaksanakan.
Katanya, sebagai salah seorang penasihat ekonomi negeri, beliau merasakan apa yang penting selain daripada dasar terbaik kerajaan adalah pelaksanaannya.
“Kalau tiada pelaksanaan dan tiada kerja keras semua pihak termasuk daripada rakyat sendiri, maka apa juga dasar terbaik tidak akan tercapai seperti ditetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI).
“Menjelang Tahun Baharu Cina ini, saya berharap semua rakyat khususnya kaum Tionghua untuk membawa inspirasi baru supaya semua pihak dapat bersatu padu serta bekerja keras menuju ke arah untuk memulihkan ekonomi negara dan juga negeri,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Goh berkata, sukar dinafikan kerajaan Gabungan Rakyat Bersatu (GRS) sudah bertungkus lumus menentukan halatuju Sabah Maju Jaya.
Malah katanya, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga sentiasa memimpin kerajaan negeri Sabah dengan cara beliau tersendiri.
“Beliau seorang pemimpin yang mudah dihubungi. Maka semua masalah yang dihadapi rakyat dapat disalurkan kepada perhatiannya melalui pemimpin dan persatuan termasuk juga Gabungan Persatuan Cina Sabah.
“Melalui belanjawan kerajaan negeri Sabah, terdapat peruntukan sebanyak RM48 juta disediakan untuk membantu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah bukan beragama Islam.
“Begitu juga dengan kuil, gereja dan aktiviti-aktiviti keagamaan bukan Islam. Ini satu angka perbelanjaan yang tertinggi dalam sejarah Sabah khususnya dalam pendidikan sekolah sekolah persendirian Cina,” katanya.
Goh berkata, semua pihak amat menyambut baik keputusan belanjawan kerajaan negeri Sabah itu erutamanya bagi kaum Tionghua.
Katanya, bagi kaum Tionghua, mereka hanya meminta satu dasar kerajaan yang adil dan saksama supaya dapat mewujudkan suasana baik untuk perniagaan masing-masing.
“Saya nampak kerajaan GRS mematuhi sensitiviti ini dan banyak membantu mereka dalam pelbagai aspek atau masalah.
“Dengan itu, saya rasa pada keseluruhannya, respon kaum Tionghua terhadap kerajaan GRS sememangnya ada meningkat,” katanya.
-Deasoka