Sindiket sorok syabu, ketamin bernilai RM386,840 dalam bungkusan produk kelapa

Sindiket sorok syabu, ketamin bernilai RM386,840 dalam bungkusan produk kelapa

Kota Kinabalu: Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar bahan terlarang itu gagal apabila lebih sembilan kilogram syabu dan satu kilogram ketamin dirampas dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, kelmarin dan semalam.

Dalam serbuan itu turut menahan tiga lelaki berusia antara 37 hingga 52 tahun selepas dipercayai sebagai dalang sindiket berkenaan.

Mohd Zaidi menunjukkan dadah jenis syabu yang berjaya dirampas polis dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, tangkapan pertama dilakukan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kira-kira jam 2.45 petang Rabu di Jalan Ranggung Batek, Likas.

“Hasil pemeriksaan terhadap seorang lelaki berusia 37 tahun berjaya menemui kotak berisi tujuh bungkusan disyaki syabu seberat 7.174 kilogram dan siasatan lanjut membawa kepada tangkapan rakan sejenayahnya iaitu seorang lelaki tempatan di sebuah dewan di Luyang.

Dadah syabu dan ketamin yang dirampas dalam dua serbuan di sekitar Kota Kinabalu.

“Hasil siasatan kedua-dua suspek membawa satu lagi tangkapan susulan iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun di hadapan sebuah pusat beli belah di Alam Mesra, kira-kira jam 2 petang semalam dan hasil pemeriksaan di dalam beg silang yang dibawanya menemui syabu sebanyak 1.22 kilogram.

“Pemeriksaan lanjut di kediamannya di Kampung Bantayan, Inanam, pula membawa kepada penemuan sebanyak 1.22 kilogram syabu dan satu kilogram ketamin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 9.218 kilogram syabu dan satu kilogram ketamin dengan nilai RM386,848 mengikut harga pasaran semasa.

“Siasatan mendapati, modus operandi sindiket ini ialah membuat pesanan dadah dari Semenanjung dengan menggunakan perkhidmatan penghantaran kurier melalui alamat palsu.

“Dadah itu diperoleh pada hari yang sama ketika suspek ditangkap dan kali ini mereka menukar modus operasi dengan menggunakan bungkusan produk berasaskan kelapa untuk mengaburi mata pihak polis.

“Dadah yang dirampas dipercayai untuk kegunaan sendiri dan dijual kepada penagih sekitar Kota Kinanalu serta mungkin juga daerah berhampiran di mana jumlah dadah itu mampu menampung sehingga 51,000 penagih dalam satu masa,” katanya.

Mohd Zaidi berkata lagi, dua suspek dalam tangkapan pertama mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

“Kedua-dua suspek masing-masing mempunyai enam dan tujuh rekod berkaitan kes dadah iaitu telah dituduh, ada yang sudah dijatuhkan hukuman dan ada yang dalam proses perbicaraan.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|