Tenom: Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew, yang dihadapkan ke mahkamah, di sini, hari ini percaya segala pertuduhan yang dilontarkan terhadapnya adalah sebahagian daripada ujian kepada dirinya.
Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 37, berkata, walaupun terkejut dengan tuduhan tidak berasas dan melampau itu, namun beliau tetap reda dengan segala ujian.
Katanya, ia adalah salah satu ujian Allah SWT dan tujuannya untuk mengampunkan dosa, beri pahala serta juga menaikkan darjat.
“Saya tidak rasa apa-apa, saya tahu saya tidak bersalah dan yakin ini perancangan ramai orang daripada dulu lagi yang cuba mengganggu kerja-kerja amal kita.
“Memang setiap kali terkena ujian kita rasa berat, tapi saya dari dulu belajar, kita kena berdoa dan jangan bersedih kerana ujian yang datang itu adalah satu sunnahtullah,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Terdahulu, beliau mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah tidak berasas dan melampau selain bertujuan mahu menjatuhkan kredibiliti beliau.
Dakwanya lagi, pertuduhan yang dihadapi di mahkamah hari ini adalah dirancang oleh kumpulan tertentu sejak sekian lama.
“Saya melihat pertuduhan ini satu pertuduhan yang tidak berasas, melampau dan memang tujuan utamanya saya nampak untuk menjatuhkan kredibiliti saya dan supaya saya nampak saya dihina, direndahkan dan supaya saya menghentikan kerja-kerja membantu.
“Saya percaya ia dilakukan oleh satu kumpulan yang merancang bukan satu dua hari untuk mengenakan saya,” katanya.
Katanya, beliau terkejut apabila mengetahui akan berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah ketika sedang melakukan kerja amal di negeri ini.
“Saya tahu beberapa hari lalu, saya pun terkejut juga masih melakukan kerja amal di Sabah 40 hari, tiba-tiba saya dapat tahu terkejut juga kerana bukan perancangan untuk ke mahkamah, tidak ada.
“Tetapi saya tak rasa apa sebab saya tahu saya tidak bersalah dan saya yakin ini perancangan ramai orang dari dulu lagi macam-macam gangguan terhadap kerja amal.
“Saya reda dan saya anggap ini ujian daripada Allah untuk saya. Saya rasa tenang melaluinya kena pula kita tengah buat kerja amal,” katanya.
Ebit berdepan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, namun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan terbabit.
-Deasoka