DUN Sabah: Pelbagai usaha sedia peluang pekerjaan kepada rakyat terjejas Covid-19

DUN Sabah: Pelbagai usaha sedia peluang pekerjaan kepada rakyat terjejas Covid-19

Kota Kinabalu: Pelbagai usaha dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, antara usaha yang dilakukan kerajaan Sabah adalah melalui pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025) yang memfokuskan Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

Katanya, melalui teras kedua Pelan Pembangunan SMJ ini, pelbagai inisiatif dalam merangka pelan baharu untuk membuka ruang pekerjaan tambahan kepada golongan yang kehilangan pekerjaan dan atau dibuang kerja akibat pandemik telah dirancang.

“Kerajaan negeri juga telah melaksanakan beberapa usaha lain dalam menyediakan peluang pekerjaan bagi rakyat Sabah termasuk melalui kerjasama strategik Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada tahun lalu.

“Sebanyak dua siri program Karnival Kerjaya dan Pekerjaan berjaya dilaksanakan. Setakat 31 Disember 2021, penempatan pekerjaan adalah seramai 6977 orang. Pada tahun 2022, JPSM dan PERKESO telah merancang untuk melaksanakan sebanyak 20 siri program Karnival Kerjaya dan Pekerjaan di seluruh Sabah,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Yakub menjawab soalan Datuk Seri Salleh Said Keruak (UMNO – Usukan) berhubung usaha yang dilakukan dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang hilang pekerjaan atau dibuang kerja akibat pandemik
Covid-19.

Tambah beliau lagi, siri Karnival Kerjaya Perdana pertama bagi tahun ini berjaya diadakan pada 6 Februari lalu di Sandakan dan seramai 284 orang telah mendapat pekerjaan.

“Program ini akan dilaksanakan di beberapa daerah lain di seluruh Sabah bagi memberi peluang saksama kepada rakyat Sabah untuk mendapat pekerjaan,” katanya.

Beliau dalam masa turut berkata, JPSM juga telah membangunkan Portal Sabah Jobs yang berupaya melaksanakan job matching antara pencari kerja dan majikan.

“Portal ini membolehkan majikan mendaftarkan kekosongan jawatan yang terdapat di syarikat atau agensi mereka dan pencari kerja boleh mendaftar dalam portal tersebut secara percuma.

“Portal ini juga mampu membuat pengiklanan peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh syarikat dan agensi kepada graduan dan pencari kerja yang lain.

“Setakat 10 Mac ini, seramai 111 majikan telah mendaftar dan menawarkan sebanyak 119 kekosongan kerja dan 383 belia telah memohon pekerjaan melalui Portal Sabah Jobs ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|