DUN Sabah: Perpustakaan Islam Sabah mula operasi Mei 2022

DUN Sabah: Perpustakaan Islam Sabah mula operasi Mei 2022

Kota Kinabalu: Perpustakaan Islam Sabah atau Baitul Hikmah yang terletak berhampiran Wisma MUIS, di sini, dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mei depan.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata perpustakaan Islam itu adalah komitmen kerajaan bagi memastikan rakyat di negeri ini mempunyai alternatif rujukan dalam pelbagai disiplin ilmu berkaitan agama, kebudayaan dan tamadun Islam.

Katanya, pengisian utama perpustakaan itu ialah sebagai tempat rujukan bidang teras dan disiplin ilmu Islam.

“Buku-buku rujukannya adalah dari kitab-kitab yang muktabar dan terkenal dalam bidang keilmuan Islam.

“Perpustakaan ini tidak terhad kepada penyediaan bahan bacaan kepada umat Islam tetapi sebagai pusat pembudayaan minat terhadap ilmu dan lambang kekuatan intelek masyarakat Islam negeri ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ruslan Muharam (PBS – Lumadan) mengenai pembukaan perpustakaan berkenaan pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Arifin berkata, perpustakaan berkenaan akan diurus secara sistematik dengan pembangunan koleksi, pengkatalogan dan sirkulasi.

Selain itu, katanya ia akan menyediakan prasarana digital dan kemudahan capaian internet bagi mengakses kitab-kitab rujukan, jurnal, tesis, disertasi dan lain-lain bahan bacaan.

“Perpustakaan ini juga akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa buah perpustakaan awam dan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negeri bagi menambah koleksi ilmu dan rujukannya.

“Perpustakaan ini juga akan diletakkan pengurusannya secara bersama di antara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam
Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|