DUN Sabah: Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah perlu proaktif cari tarikan pelancongan baharu

DUN Sabah: Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah perlu proaktif cari tarikan pelancongan baharu

Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri menggesa semua Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah supaya terus proaktif mencari tarikan pelancongan baharu.

Pembantu Menterinya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, jawatankuasa di 27 daerah perlu terus mengenal pasti tarikan pelancongan berpotensi dan memaklumkan kepada pihak kementerian agar langkah boleh diambil untuk merancakkan aktiviti pelancongan di kawasan masing-masing.

“Kita memerlukan lebih banyak tarikan pelancongan agar mempunyai daya saing dan Sabah dikurniakan banyak tarikan, terutamanya di kawasan luar bandar yang menjadi permata pelancongan.

“Jadi, kita sentiasa bersedia untuk mendengar (cadangan) bukan sahaja daripada pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi juga daripada Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, hari ini

Beliau menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan Justin Wong (Bebas-Sri Tanjong) sama ada kementerian mempunyai perancangan untuk meneroka lebih banyak tapak pelancongan di Tawau.

Joniston juga mengambil maklum cadangan Justin untuk mewujudkan Pusat Informasi Pelancong di Lapangan Terbang Tawau.

Beliau berkata pihaknya akan meneliti perkara itu sekiranya ada keperluan memandangkan Tawau adalah pintu masuk ke Semporna dan destinasi selam skuba yang popular di negeri ini.

Terdahulu, Joniston berkata perancangan awal sedang dijalankan untuk melihat pembangunan aktiviti pelancongan di Batu Punggul ketika menjawab soalan asal oleh Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin (BERSATU-Nabawan).

Beliau berkata pusat pelancongan Batu Punggul adalah di bawah kawalan Jabatan Perhutanan Sabah yang termasuk dalam kawasan yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Batu Punggul Kelas IV.

“Pada masa kini, Jabatan Perhutanan belum membuka bagi sebarang aktiviti pelancongan untuk dijalankan memandangkan belum ada pembangunan fasiliti pelancongan yang teratur disediakan kepada para pelawat.

“Hutan Simpan Batu Punggul sememangnya mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan untuk aktiviti mencabar seperti hiking dan jungle trekking. Ia juga dikenal pasti sebagai antara kawasan yang berpontensi tinggi untuk aktiviti memerhati burung.

“Beberapa perancangan awal telah diadakan oleh kementerian bersama dengan Jabatan Perhutanan Sabah. Kementerian saya telah memasukkan keperluan pembangunan infrastruktur asas di Batu Punggul di bawah peruntukan program pembangunan pelancongan luar bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Tambah beliau, pihak jabatan perhutanan telah berjumpa dengan komuniti setempat di kawasan Batu Punggul untuk memberi pendedahan dan persediaan dalam menguruskan aktiviti pelancongan di kawasan mereka.

Beliau turut berkata pihak Kementerian melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sentiasa komited untuk bekerjasama membantu mewujudkan pelancongan berasaskan komuniti.

Menjawab soalan tambahan mengenai keselamatan, Joniston menekankan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan kawasan pelancongan sentiasa selamat daripada aktiviti yang menggugat keselamatan pelancong.

“Sudah tentu pasukan keselamatan bertanggungjawab dalam hal keselamatan. Tetapi ia juga menjadi tanggungjawab komuniti setempat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi memastikan pencerobohan tidak berlaku. Di pihak Kementerian, kita juga mengadakan kursus berkaitan isu keselamatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|