DUN Sabah: Kadar pengangguran di Sabah tinggi

DUN Sabah: Kadar pengangguran di Sabah tinggi

Kota Kinabalu: Kadar pengangguran di Sabah meningkat secara drastik bermula pada 2020 kepada lapan peratus sebelum naik lagi ke sembilan peratus pada suku keempat tahun lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 5.8 peratus pada 2019.

“Pada 2021, seramai 184,200 orang penganggur dikenal pasti di Sabah sembilan peratus berbanding lapan peratus pada 2020 dan 5.8 peratus pada 2019,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Beliau berkata, kadar pengangguran yang tinggi itu amat membimbangkan, namun usaha untuk mengurangkan kadar berkenaan giat dilaksanakan pihak kementerian bersama agensi persekutuan dan negeri termasuk menawarkan peluang pekerjaan baharu.

Antaranya, beliau berkata melalui portal MyFutureJobs, seramai 110,038 pencari kerja aktif direkodkan di Sabah dan Labuan setakat ini dengan sebanyak 43,229 kekosongan jawatan ditawarkan setakat 22 Mac 2022.

“Jumlah penempatan pekerjaan dari 2021 hingga Februari 2022 pula ialah sebanyak 8,684 berdasarkan Laporan Pengoperasian Perkhidmatan Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.

Katanya, bantuan mencari kerja untuk golongan orang kurang upaya (OKU) turut dilaksanakan melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan PERKESO pada tahun lalu.

“Pihak PERKESO juga mengadakan dua siri program Karnival Kerjaya OKU melibatkan kumpulan OKU Pendengaran dan OKU Pelbagai masing-masing pada awal dan akhir 2021 dengan seramai 16 OKU mendapat penempatan pekerjaan.

“Pada tahun ini, program ini akan diadakan Mei depan bagi memenuhi keperluan golongan OKU di Sabah secara amnya.

Selain itu, katanya seramai 6,977 orang lagi mendapat penempatan pekerjaan melalui program Karnival Kerjaya hasil kerjasama JPSM dan PERKESO tahun 2021.

Pada masa terdekat ini pula katanya, dijangka seramai 2,500 orang belia Sabah mendapat peluang pekerjaan dalam Career Gig-Sabah Maju Jaya (SMJ) yang akan diadakan pada 29 Mac ini.

“JPSM juga melaksanakan 105 Program Latihan Kemahiran setahun dalam pelbagai bidang kemahiran di Sabah dengan seramai 5,772 belia Sabah berjaya dilatih pada 2021 dan seramai 236 orang sedang mengikuti latihan pada tahun ini.

“Pelbagai latihan lain turut dijayakan oleh agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Yakub berkata kementeriannya juga dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah Universiti Teknikal di Sabah dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Katanya, beberapa siri perjumpaan dengan MARA sudah dilakukan bagi menjayakan rancangan berkenaan dengan tumpuan menyediakan latihan teknikal dan perdagangan yang bertaraf global dan lebih dinamik untuk memenuhi keperluan industri semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|