Tongod: Hujan sejak semalam menyebabkan seramai 153 penduduk di Kampung Minusuh, di sini, terpaksa dipindahkan selepas kampung berkenaan dilanda banjir, tengah malam tadi.
Semua penduduk terbabit ditempatkan sementara di Pejabat Kesihatan Kampung Minusuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, empat anggota bomba dihantar ke kampung itu sejauh 155 kilometer sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11 malam.
Katanya, penduduk kemudiannya dipindahkan oleh polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sukarelawan Pejabat Daerah Tongod.
“Proses pemindahan dilakukan sebelum ketibaan anggota bomba.

“Operasi pemindahan berakhir pada jam 6 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, penempatan berkenaan hanyalah sementara dan setakat ini belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) rasmi dibuka.
Tambahnya, pihaknya masih menjalankan pemantauan berhubung kejadian itu dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.
-Deasoka