DUN Sabah: Populasi belia Sabah kedua tertinggi di Malaysia

DUN Sabah: Populasi belia Sabah kedua tertinggi di Malaysia

Kota Kinabalu: Sabah mempunyai populasi belia kedua tertinggi di Malaysia dengan lebih dua juta daripada penduduk negeri ini berada dalam kategori berkenaan pada tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin, berkata berdasarkan data teebaharu dikeluarkan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRESS) seramai 2,071,400 penduduk Sabah adalah belia berumur 15 hingga 40 tahun.

Katanya, Sabah berada di belakang Selangor yang merekodkan seramai 2,923,100 orang belia berumur 15 hingga 40 tahun selaku negeri paling ramai populasi belia di seluruh negara.

“Melalui data ini, belia Sabah menyumbang sebanyak 13.84 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi belia berumur 15-40 tahun di Malaysia iaitu sebanyak 14,972,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Katanya, daripada lebih dua juta belia di Sabah itu, seramai 1,221,800 orang adalah belia beumur 15 hingga 30 tahun.

“Bagi unjuran populasi belia berumur 15-40 tahun, jumlah populasi akan berkurang sebanyak 78,800 orang iaitu pengurangan sebanyak 3.8 peratus pada 2042.

“Data juga menunjukan bahawa jumlah populasi belia lelaki berumur 15-40 tahun pada tahun 2022 adalah seramai 1,081,500 orang dan wanita adalah 989,900 orang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|