Kota Kinabalu: Tiga Rang Undang-Undang (RUU) masing-masing berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT), pengurusan sisa pepejal dan pembekalan air diluluskan pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Pertama, RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2022 bagi meminda Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 yang membabitkan beberapa pindaan untuk menambah baik punca kuasa pihak PBT di Sabah.
Dibentangkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, RUU itu katanya bagi menambah baik peruntukan enakmen sedia ada memandangkan kali terakhir pindaan dilakukan pada 2000.
Beliau berkata, antara pindaan dalam enakmen berkenaan termasuk memberi kuasa kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah menubuhkan Majlis Bandaraya di mana-mana PBT yang memenuhi kriteria ditetapkan.
“Walaupun pindaan dibuat, namun penubuhan Majlis Bandaraya masih tertakluk kepada pelbagai tatacara dan memenuhi kriteria ditetapkan sebelum disytiharkan sebagai Majlis Bandaraya,” katanya.
Bagi RUU kedua yang turut dibentangkan Masidi, dinamakan RUU Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2022 bertujuan mengadakan peruntukan dan mengawal selia pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Sabah.
Masidi berkata enakmen yang diwujudkan menerusi RUU itu dilaksanakan berikutan keputusan jemaah menteri Sabah pada 23 Mac 2016 menolak pemakaian Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 673).
“Jemaah Menteri sebaliknya memutuskan agar suatu enakmen bagi negeri Sabah diwujudkan untuk melaksanakan tugas Pengurusan Pelupusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Sabah, selain memastikan kuasa eksekutif pelupusan sisa pepejal dan pembersihan awam adalah di bawah erajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membentangkan RUU Bekalan Air Sabah (Pindaan) 2022 untuk meminda Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 bagi memperkukuh dan memperkasa peruntukan perundangan termasuk kuasa penguatkuasaan serta menambah baik mutu perkhidmatan bekalan air sedia ada di Sabah.
Katanya, pindaan enakmen itu dilakukan bersama-sama dengan penggubalan peraturan baharu yang dinamakan Peraturan-Peraturan Bekalan Air Sabah (Retikulasi Air & Pemasangan paip) 2022.
“Ia bagi menambah baik keperluan dalam aspek teknikal dan operasi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedia ada berdasarkan Peraturan-Peraturan Bekalan Air Sabah 1961,” katanya.
-Deasoka