Industri minyak dan gas Sabah terima pelaburan RM1.45 bilion

Industri minyak dan gas Sabah terima pelaburan RM1.45 bilion

Kota Kinabalu: Industri minyak dan gas Sabah melakar fasa baharu dalam pembangunan ekonomi negeri menerusi pemeteraian tiga perjanjian usahasama yang membabitkan pelaburan bernilai RM1.45 bilion, hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian (MoA) berkenaan adalah di antara Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) dengan tiga syarikat utama iaitu Bina Puri – Wison, Evolusi Waste Management Sdn Bhd dan Cenviro.

Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC, Abdul Kadir Abdullah berkata, pembabitan ketiga-tiga syarikat itu amat penting dalam memperkukuhkan pelan pembangunan dan hala tuju Sabah Maju Jaya.

Katanya, menerusi perjanjian itu, ia akan memberikan lebih keyakinan kepada pelabur-pelabur berpotensi luar untuk datang melabur di negeri ini terutamanya di kawasan SOGDC.

“Ketiga-tiga syarikat ini mempunyai kepakaran masing-masing dan mereka bukan saja memberikan perkhidmatan yang baik tetapi juga mampu membantu menjana pendapatan yang lumayan kepada negeri Sabah.

“Perjanjian yang berjaya dimeterai ini juga memenuhi aspirasi kerajaan negeri untuk menggalakkan dan membawa pembangunan ekonomi negeri, menyelaraskan keutamaan negeri kepada rancangan Sabah Maju Jaya, mengenal pasti sumber baharu kepada hasil negeri dan mengukuhkan penglibatan syarikat milik kerajaan negeri dalam minyak dan gas industri,” katanya ketika ditemui, di The Magellan Sutera Resort, di sini, hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian berkenaan disaksikan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Mohd Tamin Zainal.

Abdul Kadir berkata, selepas ini, pihaknya menjangkakan lebih ramai pelabur dalam dan luar negeri termasuk dari negara China dan Korea Selatan datang untuk memeterai perjanjian.

Katanya, nilai pelaburan dan pekerjaan yang akan wujud adalah penyumbang besar kepada pembangunan negeri dan seterusnya memberi kesan yang besar kepada rantau ini.

“Menerusi pelaburan sebanyak RM1.45 bilion ini, sudah pasti akan membawa kemakmuran ekonomi termasuk mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|