Kota Kinabalu: Sebuah konsortium disertai Yayasan Sabah bersama tiga syarikat swasta akan menghidupkan semula Sabah Forest Industry (SFI) di Sipitang dengan sasaran mampu mewujudkan sehingga 20,000 peluang pekerjaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata konsortium itu yang akan memberi tumpuan kepada aktiviti hiliran perkayuan termasuk meneruskan pengeluaran kertas yang diterajui SFI sebelum ini turut memastikan semua pekerja SFI sedia ada diambil bekerja semula.
“Sebuah konsortium yang disertai Yayasan Sabah dan tiga syarikat swasta diwujudkan untuk mengendalikan perhutanan SFI dan memang kita utamakan kepada aktiviti hiliran untuk mewujudkan peluang pekerjaan.
“Antara yang dimasukkan dalam pelaksanaan projek itu ialah untuk mengeluarkan kertas dan sebagainya. Yang utama ialah kebajikan pekerja sekarang di SFI.
“Kerajaan telah meminta konsortium ini ambil semula pekerja di sana dan dalam kertas cadangan kepada kerajaan, ia menyasarkan mampu mewujudkan peluang kerja antara 15,000 hingga 20,000 orang.
“Ini juga antara usaha kita untuk memastikan banyak peluang kerja diwujudkan kepada rakyat Sabah,” katanya menjelaskan perkembangan SFI yang sebelum ini berdepan masalah sehingga terpaksa ditutup.
Hajiji berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai perkara itu pada sesi pengulungan Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Terdahulu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, menjelaskan kerajaan negeri dan agensi berkaitan menubuhkan sebuah konsortium bagi menerajui pelaburan baharu di Sipitang dan mengaktifkan semula industri kayu kayan di kawasan itu sekali gus menangani isu kebajikan pekerja SFI.
“Pelaburan swasta baharu ini akan dipantau kerajaan negeri dan yang paling penting pemilikan tanah perindustrian dan hutan akan tetap kekal sebagai hak negeri,” katanya.
-Deasoka