Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan tapak warta untuk Cadangan Tapak Kediaman Anak Negeri Kampung Kawang dan Kampung Beringgis, di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN, Kawang, telah disediakan oleh Jabatan Tanah dan Ukur pada 3 Disember tahun lalu.
Katanya, tapak Kediaman Anak Negeri Kampung Beringgis adalah seluas 48.1 hektar, manakala Tapak Kediaman Anak Negeri Kampung Kawang seluas 80.937 hektar.
“Sukacita dimaklumkan bahawa pelan warta untuk Cadangan Tapak Kediaman Anak Negeri Kampung Kawang dan Kampung Beringgis telah disediakan oleh Jabatan Tanah dan Ukur pada 3 Disember 2021,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya bagi menjawab soalan Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang-PN) mengenai penyelesaian isu tanah di kawasan DUN Kawang.
Isu tanah terutama berkaitan pengeluaran geran khususnya rizab perkampungan dan geran tanah untuk anak negeri turut dibangkitkan oleh Wakil Rakyat dari kawasan DUN Telupid, Pintasan, Kapayan dan Silam.
Hajiji dalam pada itu berkata, Program Perkhidmatan Khas Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang mula diperkenalkan pada 2012 oleh kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur telah berjaya mempercepatkan pengukuran dan pengeluaran geran-geran tanah anak negeri.
Katanya, sehingga kini sebanyak 27,200 lot yang diduduki dan diusahakan secara turun-temurun oleh Anak Negeri Sabah dengan keluasan 44,205.77 hektar, melibatkan 135 kampung dari 21 daerah di Sabah telah selesai diukur.
Katanya, peratus tanah anak negeri yang diberi milik telah meningkat melalui pelaksanaan PANTAS.
Pada 2012, luas pemilikan geran tanah anak negeri adalah 550,988 hektar atau 26.8 peratus daripada jumlah tanah yang diberi milik.
Manakala jumlah luas pemilikan geran tanah anak negeri pada tahun 2021 telah meningkat kepada 1,135,116 hektar atau 42.7 peratus daripada jumlah tanah yang diberi milik.
Sementara itu, Ghulam yang juga Pengarah Yayasan Sabah mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri atas perwartaan tanah yang dipohon penduduk di kawasan DUN Kawang.
“Mewakili penduduk terlibat, kita ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan negeri atas tindakan tindakan proaktif, bagi membantu penduduk tempatan.
“Tidak syak lagi, dengan pewartaan tanah ini menjadi khabar gembira buat penduduk terlibat yang akan dapat membangunkan kawasan mereka tanpa rasa bimbang,” katanya.
-Deasoka