DUN Sabah: Kaji nilai perubatan tumbuhan hasilkan ubat Covid-19 – ADUN Likas

DUN Sabah: Kaji nilai perubatan tumbuhan hasilkan ubat Covid-19 – ADUN Likas

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah disaran melaksanakan kajian dan pembangunan terhadap tumbuhan tempatan yang mempunyai nilai kesihatan dan perubatan termasuk untuk menghasilkan ubat yang mampu melawan virus Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tan Lee Fatt (DAP), berkata Sabah mempunyai banyak tumbuhan yang dikenal pasti mempunyai nilai perubatan seperti pokok betik dan hempedu bumi.

“Saya ingin mendapatkan perhatian Menteri Pertanian mengenai usaha untuk membangunkan industri pertanian melalui kajian dan pembangunan terhadap tumbuhan dan tanaman seperti betik dan hempedu bumi untuk menghasilkan ubat yang mampu melawan Covid-19 malah telah dibangunkan di negara lain.

“Bukan itu saja, tanaman buah-buahan atau tumbuhan seperti limau nipis, daun gelenggang, Incha Sacha dan limau kasturi (kit chai) juga boleh dibangunkan sebagai ubat atau suplemen kesihatan.

“Tanaman yang mempunyai kandungan ‘fiber’ tinggi tinggi seperti rumput, tebu, nenas, daun kelapa dan pokok pisang juga mampu dimajukan dan diolah bagi menggantikan penggunaan plastik pakai buang seperti cawan, mangkuk, piring dan penyedut minuman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan negeri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Lee Fatt berkata, penggunaan tumbuhan menggantikan peralatan plastik bukan saja mengurangkan masalah sampah yang dihasilkan melalui penggunan plastik pakai buang malah dapat menjana pendapatan dengan memberi peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat.

“Penggunaan racun serangga dan baja haiwan juga menyebabkan kos yang tinggi kepada penternak dan petani. Oleh itu, penggunaan bahan yang mesra alam dan tempatan patut dikaji dan diberi perhatian serta galakan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya petani atau mana-mana pengusaha dalam industri pertanian diberi pengecualian cukai pendapatan.

Katanya, ia bagi menarik minat belia menceburkan diri atau ahli perniagaan melabur dalam industri pertanian.

Kaedah itu juga katanya boleh mengurangkan kos kerajaan dalam pemberian subsidi kepada mereka kerana diberi pengecualian cukai.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|