DUN Sabah: Hormati slogan ‘Sabah Maju Jaya’ – Fairuz

DUN Sabah: Hormati slogan ‘Sabah Maju Jaya’ – Fairuz

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan meminta semua pihak supaya menghormati dan menyanjung tinggi slogan ‘Sabah Maju Jaya’.

Katanya, slogan itu wajar dihormati kerana ia sudah sebati dengan rakyat Sabah.

“Slogan ini bukan setakat kata-kata tetapi ia adalah perjuangan kita untuk negeri Sabah, kita ingin Sabah terus maju dan menempa kejayaan.

“Kita sedar memang dua tahun kebelakangan ini adalah tahun paling sukar buat semua kerana Covid-19, sekali gus meragut keharmonian ekonomi dan rakyat kita, hampir secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Fairuz yang juga Ketua ARMADA BERSATU Sabah turut membangkitkan isu keperluan internet yang perlu diperbaiki sejajar kehidupan norma baharu amat bergantung kepada keperluan liputan internet.

“Urusan harian, pembelajaran, pengajaran, pendidikan, ekonomi, perniagaan, pekerjaan dan segala urusan termasuk mesyuarat, banyak diadakan secara alam maya dan ia memerlukan internet dan pastinya faktor liputan turut mempengaruhi kualiti,” katanya.

Mengenai isu Kesultanan Sulu, Fairuz menyokong kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bahawa tuntutan Filipina adalah tidak berasas sama sekali.

Beliau meminta supaya Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri tidak lagi melayan mana-mana individu yang mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu.

“Negara kita, negeri kita, sudah pasti menjadi tanggungjawab kita untuk kita pertahankan sedaya upaya kita.

“Sememangnya tidak perlu kita kisah atau endahkan segala permintaan karut dan tidak masuk akal golongan-golongan itu kerana pastinya ini hanyalah akan menimbulkan kekusutan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|