DUN Sabah bersidang empat hari minggu depan

DUN Sabah bersidang empat hari minggu depan

Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan bersidang empat hari mulai Isnin depan dengan beberapa kelonggaran diberikan sejajar fasa peralihan ke endemik Covid-19.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, berkata antara kelonggaran kali ini ialah kebenaran dibuka kepada pemerhati untuk mengikuti persidangan secara fizikal.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.

Bagaimanapun, katanya kebenaran itu perlu melalui permohonan secara terus kepada urusetia DUN Sabah dengan menepati beberapa syarat yang ditetapkan selepas mengambil kira jumlah kes Covid-19 di Sabah yang kini mencecah semula kepada tiga angka.

“Walaupun pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kini ke arah endemik, DUN Sabah masih mengekalkan langkah berjaga-jaga.

“Jawatankuasa induk bersetuju untuk membenarkan kehadiran pemerhati tetapi secara terhad mengikut masa yang ditetapkan.

“Untuk itu, pemerhati hendaklah membuat permohonan kepada pihak urusetia DUN Sabah untuk menghadiri dan mengikuti sidang ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa induk persidangan DUN, semalam.

Beliau berkata, jumlah serta kehadiran pemerhati adalah secara bergilir mengikut tempoh masa yang ditentukan.

“Bagi ahli Yang Berhormat yang berhasrat membawa penyokong atau pengikut, bolehlah membuat permohonan kepada urusetia dan kita hadkan kepada lima orang sahaja.

“Badan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah-sekolah pun boleh membuat permohonan tetapi dalam jumlah yang terhad dan ketetapan masa yang kita ditentukan.

“Oleh kerana ruang adalah terhad, kita akan pastikan pemerhati mengikuti sidang dewan secara bergilir dan selepas tamat tempoh ditetapkan, pemerhati dinasihatkan beredar meninggalkan dewan,” katanya.

Kadzim menjelaskan, selain mewajibkan penggunaan pelitup muka sepanjang masa, semua petugas dan pemerhati turut diwajibkan menjalani ujian saringan menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen menggunakan sampel air liur.

Persidangan kali ini dijadual membentangkan empat Rang Undang-Undang (RUU).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|