2,600 benih ketam bakau dilepas di Tasik Sitompok

Kuala Penyu: Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini melepaskan 2,600 benih ketam bakau di Tasik Sitompok, di sini.

Program dengan kerjasama Jabatan Perikanan Sabah itu adalah antara inisiatif untuk menambah stok perikanan dan hidupan marin di tasik berkenaan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan IPMB, benih ketam bakau yang dilepaskan itu adalah daripada spesies Scylla tranquebarica yang dihasilkan di Hatceri Krustasia institut berkenaan.

Kata kenyataan itu, spesies ketam bakau itu dipilih kerana ia adalah spesies ketam bakau yang dominan di perairan Sabah.

Penyelidik IPMB dan Jabatan Perikanan Sabah bekerjasama dalam menambah stok ketam bakau di Tasik Sitompok.

“Benih ketam yang dilepaskan bersaiz di antara lima milimeter (mm) hingga 25 mm lebar karapas dan berumur dalam lapan minggu selepas penetasan di Hatceri Krustasia,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, kajian penyelidik UMS mendapati hasil tangkapan ketam bakau di perairan Sabah kini semakin berkurangan.

Jelasnya, aktiviti akuakultur menggunakan benih yang dihasilkan di pusat penetasan adalah amat penting untuk terus membangunkan industri penghasilan ketam bakau pada masa hadapan.

“Pada masa sama, ia bagi memulihara stok ketam bakau bagi memenuhi permintaan tempatan dan luar negara.

“Sehingga kini, bekalan ketam bakau bergantung hampir sepenuhnya daripada penangkapan stok liar ketam yang diperolehi daripada habitat semula jadi,” katanya.

Pogram pelepasan benih ketam bakau itu disempurnakan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kassim.

Trut hadir ialah Pengurus Hatceri Krustasia IPMB UMS, Prof Madya Dr Annita Yong Seok Kian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|