Dua wakil Sabah dilantik menteri dalam Kerajaan Perpaduan

Dua wakil Sabah dilantik menteri dalam Kerajaan Perpaduan

Kota Kinabalu: Dua wakil Sabah, masing-masing dari Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Ewon yang juga bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Armizan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Kedua-dua mereka adalah muka baharu yang berjaya memenangi kerusi Parlimen Penampang dan Papar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

Ewon juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian selain pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah ketika pentadiran kerajaan Parti Warisan (WARISAN) sebelum ini.

Beliau bertanding atas tiket PH di kerusi Parlimen Penampang pada PRU15 dan menewaskan Timbalan Presiden WARISAN yang juga penyandang kerusi berkenaan, Datuk Darell Leiking.

Armizan pula mewakili GRS di kerusi Parlimen Papar turut menewaskan penyandang dari WARISAN, Ahmad Hassan pada PRU15 lalu.

Dalam pengumumannya malam ini, Anwar menyenaraikan 28 menteri termasuk beliau selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Turut disenaraikan ialah dua Timbalan Perdana Menteri yang masing-masing diwakili Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof pula memegang portfolio Timbalan Perdana Menteri mewakili Sabah dan Sarawak selain Menteri Perladangan dan Komoditi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|