Dua suspek kes samun kedai dobi sudah ditahan

Dua suspek kes samun kedai dobi sudah ditahan

Sandakan: Dua lelaki yang terbabit dalam kes samun di kedai dobi layan diri di Taman Mawar, di sini, isnin lalu, berjaya diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas mangsa membuat laporan.

Kedua-dua suspek berjaya ditahan pada jam 10.30 malam, Selasa lalu, di kawasan perumahan setinggan, di Kampung Sundang Laut, di sini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, mangsa membabitkan serang pelajar perempuan berusia 16 tahun.

Katanya, dalam kejadian berkenaan, suspek yang menaiki motosikal dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bertindak merampas telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri.

“Berikutan itu, klip video kejadian samun ini yang berdurasi 71 saat turut tersebar di media sosial.

“Kedua-dua suspek kemudiannya berjaya ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Fuad berkata, suspek yang ditahan adalah membabitkan seorang warga tempatan berusia 24 tahun dan seorang lagi warga asing berusia 25 tahun.

Katanya, ketika tangkapan dibuat, polis turut berjaya merampas sebuah motosikal yang digunakan semasa melakukan jenayah.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|