76 badan berkanun negeri, GIC Sabah diarah tubuh IGU

76 badan berkanun negeri, GIC Sabah diarah tubuh IGU

Kota Kinabalu: Sebanyak 76 badan berkanun negeri dan syarikat berkepentingan kerajaan (GIC) Sabah diarah menubuhkan Unit Integriti & Tadbir Urus (IGU) bagi memastikan tidak berlaku ketirisan integriti dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan bertarikh 12 November 2019 kepada GIC untuk menubuhkan IGU dan unit itu perlu ditubuhkan dalam tempoh dua tahun dari tarikh arahan dikeluarkan.

Hajiji menyempurnakan majlis pelancaran buku semakan pelan anti rasuah sempena Hari Integriti Negeri Sabah 2022, di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

“Bagaimanapun, setakat ini saya difahamkan hanya sembilan daripada 85 badan berkanun kerajaan dan GIC telah menubuhkan IGU.

“Oleh itu, saya menetapkan bahawa 76 badan berkanun negeri dan GIC yang belum menubuhkan IGU untuk memberikan perhatian yang serius dan saya berikan tempoh sehingga Disember 2022,” katanya dalam ucapan sempena Hari Integriti Negeri Sabah 2022 di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Hajiji dalam pada itu turut meminta semua agensi di bawah kementerian dan kerajaan negeri perlu membangunkan pelan anti rasuah di bawah agensi masing-masing.

“Saya menetapkan bahawa 17 jabatan di bawah Jabatan Ketua Menteri dikehendaki membangunkan pelan anti rasuah masing-masing dan tempoh diberikan sehingga Disember 2022.

“Saya juga menetapkan supaya Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun yang belum membangunkan pelan anti rasuah diberikan tempoh sehingga Disember 2023 manakala GIC negeri adalah digalakkan untuk membangunkan pelan anti rasuah dan mendapatkan pensijilan Anti Bribery Management System (ABMS),” katanya.

Hajiji dalam pada itu turut menetapkan bahawa status pembangunan pelan anti rasuah dan pelaksanaan ABMS dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri.

“Saya mahu semua ketua jabatan perlu memainkan peranan proaktif dan memantau secara khusus bagi memastikan agensi di bawah kawalan masing-masing membangunkan pelan anti rasuah selaras dengan strategi dua pelan anti rasuah nasional 2019 hingga 2023,” katanya.

Sempena majlis itu, Hajiji turut melancarkan buku semakan semula pelan anti rasuah Jabatan Ketua Menteri 2019 hingga 2023 di mana terdapat sebanyak 20 inisiatif yang telah ditambah baik seiring dengan hala tuju dan agenda kerajaan ke arah pengukuhan integriti anti rasuah tadbir urus yang baik.

Beliau dalam pada itu Hajiji turut menyampaikan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kerjasama dengan kerajaan negeri yang mengambil serius berhubung kes pemalsuan pengisytiharan cukai jualan seperti yang dilaporkan SPRM menerusi sesi khidmat nasihat yang dibentangkan pada 1 Julai lalu di Kementerian Kewangan Sabah.

“Dalam usaha mengekang ketirisan hasil kerajaan negeri daripada terus berlaku, satu pasukan petugas ‘task force’ yang terdiri daripada Kementerian Kewangan Sabah, SPRM dan Malaysian Palm Oil Berhad dibentuk bagi tujuan mengutip semua cukai jualan yang gagal dibayar sebelum ini.

“Kerugian yang ditanggung sekiranya berlaku atas sebab ketirisan, salah guna kuasa dan pembaziran maka ia perlu diberikan perhatian serius oleh semua peringkat kementerian, jabatan dan agensi negeri Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|